PUTRAJAYA, 8 Oktober: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 180 berdasarkan catatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hendaklah ditutup mulai esok, susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut, institusi pendidikan hendaklah ditutup bermula Isnin, 12 Oktober.
Beliau berkata penutupan itu bertujuan melindungi murid dan warga pendidikan daripada terdedah kepada keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“KPM menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Seri Paduka Baginda berhubung keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu yang melanda negara ini.
“Pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan institusi pendidikan di bawah KPM hendaklah membuat pemantauan secara berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya apabila bacaan IPU melebihi paras yang dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM yang terjejas dikehendaki melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah.
Beliau berkata dalam tempoh pelaksanaan itu, pihak sekolah hendaklah memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran murid melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.
“Berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh pelaksanaan penutupan,” katanya.
Beliau berkata KPM akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan sentiasa mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan serta agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan terpelihara sebagaimana titah Seri Paduka Baginda.
Setakat 3.00 petang tadi, sebanyak 38 kawasan di Semenanjung merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat.
Berdasarkan rekod JAS, Segamat di Johor mencatat bacaan IPU tertinggi, iaitu 190, diikuti Seremban dan Nilai di Negeri Sembilan masing-masing dengan bacaan 186 dan 185.
Kawasan lain yang turut merekodkan bacaan tinggi ialah Kluang, Johor (181) serta Rompin, Pahang dan Johan Setia, Selangor yang masing-masing mencatat bacaan 178.- Bernama




