BINTULU, 10 Oktober: Bintulu perlu melahirkan lebih ramai generasi muda yang mampu mencipta teknologi dan menghasilkan inovasi sendiri bagi memenuhi keperluan pembangunan bandar itu sebagai pusat perindustrian dan tenaga hijau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, penguasaan sains, teknologi dan inovasi penting bagi memastikan anak muda tempatan mampu merebut peluang dalam sektor ekonomi yang semakin berkembang.
Menurutnya, pendidikan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) perlu diperkukuh bagi membina generasi yang bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, tetapi turut berupaya membangunkan penyelesaian baharu.
“Dengan perkembangan Bintulu sebagai pusat perindustrian dan tenaga hijau, kita memerlukan lebih ramai anak muda yang mahir dalam sains, teknologi dan inovasi.
“Saya berharap anak-anak Bintulu bukan sahaja tahu menggunakan teknologi, tetapi suatu hari nanti mampu mencipta teknologi baharu,” katanya ketika berucap pada perasmian Program Putra Bakti: Mega Youth Explorer Bintulu 2026 di sini, hari ini.
Johnny Pang berkata, pembangunan bakat muda perlu disertai pembentukan sahsiah, disiplin dan nilai kemanusiaan bagi memastikan kemajuan teknologi berjalan seiring dengan kesejahteraan masyarakat.
Tambah beliau, usaha membendung perbuatan buli, termasuk di media sosial, perlu diberi perhatian kerana persekitaran yang selamat dan saling menghormati penting dalam membentuk generasi berkeyakinan.
Program anjuran Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) itu turut merangkumi aktiviti pembelajaran STEM secara praktikal, kempen antiperbuatan buli serta pendedahan kepada pertanian moden dan kelestarian alam sekitar.

Menurut Johnny Pang, bidang pertanian juga menawarkan peluang luas kepada golongan muda menerusi penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), dron dan bioteknologi yang berpotensi meningkatkan kecekapan pengeluaran makanan.
Beliau memberitahu, pendedahan kepada bidang berkenaan dapat membantu pelajar memahami bahawa pertanian bukan sekadar kegiatan tradisional, malah merangkumi aspek sains, teknologi, perniagaan dan inovasi.
Johnny Pang turut menggalakkan mahasiswa yang terlibat supaya memanfaatkan pengalaman program itu untuk membina kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial.
Ujarnya, usaha membangunkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia penting bagi menyokong aspirasi pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Oleh Carolyne Utih




