KUCHING, 10 Oktober: Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena sambutan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berlangsung meriah di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Istiadat yang bermula pada 8.00 pagi itu menjadi antara acara utama sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Sebanyak 107 kontinjen terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pasukan beruniform serta pertubuhan mengambil bahagian dalam perbarisan berkenaan.

Istiadat tersebut diserikan dengan kehadiran Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Antara acara utama istiadat ialah penghormatan diraja, nyanyian lagu Ibu Pertiwiku dan pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama oleh Yang di-Pertua Negeri.

Istiadat itu turut melibatkan pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengiringi perjalanan acara rasmi berkenaan.
Suasana sambutan turut dimeriahkan dengan kehadiran orang ramai yang menyaksikan istiadat berkenaan di tengah-tengah bandar raya Kuching.

Penganjuran Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa itu menjadi simbol penghormatan kepada Yang di-Pertua Negeri, selain mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat negeri ini.
Sambutan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri turut diisi dengan pelbagai program dan acara rasmi yang berlangsung sepanjang tempoh sambutan.

Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof bersama isteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir.
Hadir sama barisan kepimpinan kerajaan negeri dan Persekutuan serta dif-dif kenamaan lain.
Oleh Norman B





