KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Kerajaan menyediakan bantuan berjumlah RM2.62 bilion kepada pesawah menerusi Belanjawan 2027, meliputi pelbagai subsidi dan insentif bagi meningkatkan pengeluaran padi serta menjaga kebajikan golongan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan berkenaan membolehkan pesawah menikmati manfaat sekitar RM4,300 bagi setiap hektar sawah, termasuk subsidi benih, baja, racun, upah bajak dan harga padi.
Beliau berkata kerajaan bersetuju meningkatkan kadar insentif penuaian padi daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim, manakala kadar insentif pembajakan yang telah ditingkatkan kepada RM300 akan dikekalkan dan diperluas kepada pesawah Sabah dan Sarawak.
“Bagi memulih dan menyubur semula tanah sawah padi, RM20 juta disediakan untuk membekalkan baja foliar di lebih 10,000 hektar tanah sawah.
“Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun amat penting untuk kelangsungan bekalan beras negara dan kerja menaik taraf sistem pengairan di 15 blok sawah sedang berjalan mengikut jadual, selain projek pemulihan Empangan Pedu di Kedah dijangka siap pada penghujung 2027,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi sektor perikanan dan nelayan, beliau berkata kerajaan meningkatkan jumlah pemegang lesen sampan khas daripada 17,000 kepada 20,000 nelayan dengan peruntukan RM30 juta, selain menyediakan geran projek akuakultur dan pembiayaan RM40 juta menerusi Agrobank.
Nelayan yang layak juga terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter, manakala RM178 juta disediakan antaranya bagi insentif hasil tangkapan dan Elaun Sara Hidup sehingga RM300 sebulan.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi memperhebat kerjasama dengan kerajaan negeri dalam pelaksanaan projek agromakanan, selain menyediakan lebih RM1 bilion dana pembiayaan kepada usahawan tani melalui Agrobank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Bagi pekebun kecil sawit, kerajaan menyediakan pembiayaan hibrid RM100 juta untuk penanaman semula melibatkan 4,500 pekebun kecil, selain pembiayaan mudah RM200 juta dengan kadar faedah ditanggung pekebun hanya dua peratus dan penangguhan bayaran balik selama empat tahun.
Peruntukan membaik pulih jalan ladang turut digandakan daripada RM50 juta kepada RM100 juta, manakala RM30 juta disediakan bagi membendung penyakit dan serangan perosak tanaman termasuk dalam sektor sawit, koko dan lada.
Sementara itu, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM3 kepada RM3.30 sekilogram, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 pekebun kecil getah.
Anwar berkata kerajaan juga meluluskan RM1.26 bilion bagi 2027 untuk memperkukuh kewangan FELDA, menyelenggara jalan serta menyediakan perumahan generasi FELDA.
Beliau berkata purata pendapatan bersih peneroka FELDA meningkat daripada RM2,272 sebulan pada 2023 kepada RM3,800 tahun ini, manakala 109,000 peneroka kini memiliki hak milik tanah. – Bernama





