Belanjawan 2027: STR, SARA naik kepada RM150 sebulan – Anwar

Facebook
WhatsApp
BANTUAN SARA bulanan mula dikredit ke MyKad penerima hari ini

KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2027 meningkat kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion, dengan semua penerima STR menerima SARA hingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR pula akan menerima SARA MADANI sejumlah RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan bersempena dengan sambutan 70 tahun kemerdekaan negara.

Beliau berkata kedua-dua bantuan itu masing-masing akan memanfaatkan hingga sembilan juta penerima STR dan 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan pertengahan (M40).

“Kerajaan turut bersetuju membenarkan penggunaan SARA untuk pembelian barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata rakan niaga SARA setakat ini berjumlah 15,000 premis, termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi, dengan penglibatan lebih banyak kedai runcit kecil akan ditingkatkan tahun hadapan.

Anwar berkata jumlah keseluruhan peruntukan subsidi, bantuan dan insentif tahun hadapan melebihi RM80 bilion, termasuk subsidi bahan api yang dijangka kekal tinggi pada RM40 bilion serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat hampir RM3.3 bilion.

Beliau berkata peruntukan Jualan RAHMAH MADANI dan Jualan Agro MADANI turut ditingkatkan daripada RM630 juta kepada RM750 juta, dengan sasaran 35,000 penganjuran.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 30,000 Jualan RAHMAH akan melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri, dengan tumpuan memperbanyak penganjuran di kawasan desa, perumahan kos rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) bandar,” kata beliau.

Beliau berkata jualan berkenaan bukan sahaja dilaksanakan melalui kedai runcit biasa, malah turut melibatkan mesin layan diri, manakala Jualan RAHMAH MADANI Borong akan dianjurkan bagi membantu peniaga kecil.

Sebanyak 5,000 Jualan Agro MADANI pula akan dilaksanakan dengan menawarkan hasil tani segar seperti ikan, ayam, sayur dan buah pada harga hingga 30 peratus lebih murah, kata Perdana Menteri.

Anwar berkata pengedaran barangan asas ke kawasan pedesaan dan pedalaman turut diperluas dengan peruntukan RM250 juta, meliputi enam lokasi baharu, antaranya Kampung Terian, Penampang, Sabah dan Kampung Dato’ Godam, Pusa, Sarawak.- Bernama