KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Kerajaan memperuntukkan RM935 juta untuk pelancongan dan budaya susulan pelanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia hingga 2027, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu antaranya merangkumi geran galakan kepada penggiat industri untuk mempromosi dan menganjurkan acara pelancongan.
Perdana Menteri berkata had pembelian barangan bebas cukai bagi pelawat dan pelancong di Langkawi serta Labuan turut dinaikkan kepada RM10,000, tertakluk kepada tempoh penginapan minimum 48 jam.
“Lebih banyak produk buatan Langkawi juga diberi pengecualian duti import, sekali gus menyokong usahawan setempat,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata mutu kemudahan pelancongan akan ditingkatkan, termasuk prasarana jeti serta tapak warisan yang berpotensi diiktiraf UNESCO seperti Danum Valley di Sabah, Lembah Bujang di Kedah dan Taman Negara Pahang.
Beliau berkata seni, budaya dan warisan terus disemarakkan melalui penganjuran Festival Budaya sempena Sukan SEA serta sokongan kepada penggiat budaya dan warisan seperti kraf tangan, tenun dan batik.
Bagi memperluas akses pelancong antarabangsa, Anwar berkata Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa dan Carter disediakan untuk merintis laluan penerbangan terus baharu dari China, India, Asia Tengah dan Eropah.
Beliau berkata skop geran itu turut diperluas meliputi kapal persiaran, feri dan bas persiaran yang membawa pelancong antarabangsa ke Malaysia.
Anwar berkata pembayaran QR akan diperluas di 15 lokasi tahun hadapan, termasuk pulau peranginan, bagi menangani kesukaran penduduk dan pelancong mendapatkan mesin ATM serta membantu peniaga kecil yang terlepas jualan apabila pelanggan tidak mempunyai wang tunai.
Beliau berkata rebat turut diberikan kepada penganjur acara di lokasi berkapasiti sekurang-kurangnya 10,000 penonton bagi menjadikan Malaysia destinasi pilihan acara besar antarabangsa.
Selain itu, Perdana Menteri berkata galakan cukai bagi lawatan insentif, persidangan dan pameran perdagangan bertaraf antarabangsa dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2030.- Bernama



