KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam berpendapatan bawah RM2,500 sebulan menerusi Belanjawan 2027.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan pula hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50.
“Maknanya kalau pendapatan seseorang itu belum mencecah RM2,500 sebulan, dia belum dikehendaki membayar apa-apa kepada PTPTN. Hanya setelah dia dapat gaji yang lebih (RM2,500 hingga RM3,000), maka diminta bayar RM50 sebulan.
“Ini memberi manfaat kepada lebih 400,000 peminjam PTPTN. Saya percaya ini tidak menjadi isu kerana kalau dia (peminjam) belum mampu bayar, dia tak perlu bayar dan bila dah mampu, bayar RM50 sebulan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur pula akan diberikan diskaun sebanyak 10 peratus.
Beliau berkata kerajaan turut bersetuju memberikan potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja.
Katanya galakan itu meliputi bayaran balik yang dibuat mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028. – Bernama



