KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam daripada Gred Utama B dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu pada akhir pembentangan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat di sini hari ini.
“Mengenang jasa penjawat awam, kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan khas kewangan RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
“Bantuan khas kewangan sebanyak RM750 turut diberikan kepada lebih satu juta pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen,” katanya.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pembayaran bantuan khas itu akan dilakukan sebanyak dua kali, iaitu sebelum sambutan Aidilfitri dan sempena ambang tujuh dasawarsa merdeka. – Bernama



