Pindaan undang-undang tetapkan cuti umum jatuh Ahad

Facebook
WhatsApp
TAN Sri Mohamad Asfia Awang Nasar ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat prapersidangan GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

PETRA JAYA, 9 Oktober: Cuti umum yang jatuh pada Ahad akan diganti pada Isnin berikutnya, manakala hari selepasnya akan menjadi cuti ganti jika Isnin itu turut merupakan cuti umum, di bawah pindaan undang-undang cuti umum yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak minggu depan.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar, berkata Rang Undang-Undang Cuti Umum (Pindaan) 2026 bertujuan menangani pertindihan cuti umum tanpa memerlukan pemberitahuan pewartaan berulang kali.

“Rang undang-undang itu akan dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

“Bacaan kali pertama rang undang-undang itu dijadualkan pada 12 Oktober, manakala bacaan kali kedua dan ketiga akan dilakukan pada 13 Oktober,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat prapersidangan GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.

Pada Mei lalu, kerajaan Sarawak menetapkan 3 dan 4 Jun sebagai cuti gantian berikutan pertindihan Hari Wesak, Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan Hari Gawai pada 31 Mei hingga 2 Jun.

Berdasarkan ketetapan itu, 3 Jun dijadikan cuti gantian Hari Wesak, manakala 4 Jun ialah cuti gantian Hari Gawai, sekali gus menunjukkan keperluan mengurus pertindihan beberapa cuti umum dalam kalendar tahunan.

Untuk rekod, Persidangan Kedua Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-19 berlangsung selama lapan hari dari 12 hingga 21 Oktober ini, dengan tiada persidangan pada 17 dan 18 Oktober.

Oleh Masrin Affirah