PETRA JAYA, 8 Oktober: Suasana Masjid Jamek Sarawak, di sini, malam ini diselubungi kesyahduan apabila sambutan ulang tahun ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, diraikan menerusi majlis kesyukuran bersama hampir 500 jemaah.
Majlis yang turut dihadiri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum Tun Pehin Sri Wan Junaidi bersama jemaah meneruskan pengisian dengan bacaan Yasin.
Selesai bacaan Yasin, suasana masjid diserikan dengan alunan zikir Marhaban oleh jemaah sebelum majlis diteruskan dengan doa kesyukuran.
Doa yang dipanjatkan menjadi antara pengisian utama majlis, mencerminkan rasa syukur sempena pertambahan usia Tun Pehin Sri Wan Junaidi, selain memohon kesejahteraan dan keberkatan buat Yang di-Pertua Negeri serta keluarga.
Majlis kemudian diteruskan dengan solat Isyak berjemaah sebelum diakhiri dengan jamuan.
Dalam kesederhanaan pengisian majlis, sambutan ulang tahun ke-80 itu diraikan melalui doa, zikir dan kebersamaan jemaah, menjadikan malam berkenaan ruang untuk memanjatkan kesyukuran sempena usia yang diraikan.
Sambutan berkenaan akan diteruskan dengan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 TYT Yang di-Pertua Negeri di Padang Merdeka, Kuching, pada 10 Oktober ini.
Majlis kesyukuran malam ini menjadi antara pengisian yang mengiringi sambutan tersebut sebelum kemuncaknya diraikan menerusi istiadat rasmi bersama rakyat di Padang Merdeka.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Dato Sri Julaihi Narawi, Datuk Abdul Rahman Junaidi, Datu Misnu Taha dan Mufti Sarawak, Datuk Khalidi Ibrahim.
Oleh Afiq Sallehi





