SK Nanga Temalat berwajah baharu, prasarana pendidikan dipertingkat

Facebook
WhatsApp
MAJLIS Penyerahan Projek Siap Cadangan Pembangunan Semula Sekolah Daif Negeri Sarawak di SK Nanga Temalat, Song. Foto JKR Sarawak

SONG, 8 Oktober: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Temalat, Song kini menikmati kemudahan pendidikan yang lebih selesa dan kondusif susulan siapnya projek pembangunan semula sekolah daif di bawah peruntukan RM1 bilion (Fasa 2), Pakej 10.

Menurut kenyataan media Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, majlis penyerahan projek siap berkenaan diadakan semalam, dengan projek tersebut disiapkan sepenuhnya pada 18 September lalu.

Projek pembangunan semula itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menyediakan prasarana pendidikan yang lebih baik, khususnya bagi sekolah yang terletak di kawasan pedalaman Sarawak.

PROJEK pembangunan semula SK Nanga Temalat, Song yang siap sepenuhnya pada 18 September lalu kini menyediakan kemudahan pendidikan lebih selesa dan kondusif kepada warga sekolah. Foto JKR Sarawak

Skop pembangunan melibatkan kerja perobohan serta pembinaan bangunan baharu lengkap dengan sistem mekanikal dan elektrikal, termasuk sebuah blok pentadbiran empat tingkat serta dua blok berek berkembar jenis C.

Turut disediakan ialah masing-masing sebuah blok asrama lelaki dan perempuan dengan kapasiti 30 penghuni bagi setiap blok, selain dua rumah pam termasuk sebuah rumah pam bersaiz lebih kecil serta empat platform tangki air bertingkat.

Kemudahan luaran pula merangkumi laluan pejalan kaki dan sistem perparitan bagi meningkatkan aspek keselesaan, keselamatan serta kelancaran pergerakan warga sekolah.

SEBUAH blok asrama lelaki dan perempuan dengan kapasiti 30 penghuni bagi setiap blok. Foto JKR Sarawak

Bagi melengkapkan lagi kemudahan pembelajaran dan pengurusan, projek itu turut merangkumi pembekalan serta pemasangan papan kenyataan, papan putih, perabot bilik sains dan sekatan ruang kerja bagi pejabat pentadbiran.

Dalam ucapan Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris berkata JKR Sarawak sentiasa terbuka untuk membantu pihak sekolah atas dasar tanggungjawab sosial, sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama antara jabatan dengan komuniti setempat.

SEBUAH blok pentadbiran empat tingkat. Foto JKR Sarawak

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKR Bahagian Kapit serta pihak kontraktor atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang pelaksanaan projek sehingga berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pihak sekolah.

Penyerahan projek itu diharap dapat memberikan suasana pembelajaran yang lebih baik serta menyokong kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran, sekali gus memberi manfaat berterusan kepada murid, guru dan seluruh warga SK Nanga Temalat.

Oleh Adi Safarman