Enam projek RTP RM450,000 tingkat kemudahan sekolah di Meradong

Facebook
WhatsApp
ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menyaksikan penyerahan tapak projek Rancangan Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Meradong. Foto Pusat Khidmat DUN Meradong.

BINTANGOR, 7 Oktober: Enam projek Rancangan Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai keseluruhan RM450,000 diluluskan bagi menaik taraf dan menyediakan kemudahan pendidikan di beberapa sekolah di DUN Meradong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penyerahan tapak projek tersebut merupakan langkah penting bagi membolehkan pelaksanaannya berjalan lancar dan memberi manfaat kepada warga sekolah.

“Pelaksanaan projek ini dijangka dapat meningkatkan kemudahan dan infrastruktur sekolah, selain memperkukuh aspek keselamatan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada pelajar dan warga sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan penyerahan tapak projek RTP DUN Meradong, semalam.

Katanya, kesemua projek tersebut berada di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei.

Daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM200,000 disediakan bagi pembinaan baharu bangunan prasekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Ming.

Lima projek lain masing-masing menerima peruntukan RM50,000, membabitkan pembinaan tempat letak kereta baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Putih serta naik taraf kemudahan dewan serbaguna dan bilik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di SK Rentap.

Turut dilaksanakan ialah kerja menaik taraf pagar SJKC Yong Kwong, pendawaian semula SJKC Yong Cheng serta menaik taraf pagar SJKC Tong Hua.

Ding berkata, perhatian terhadap kemudahan sekolah penting bagi memastikan persekitaran pendidikan dapat memenuhi keperluan murid, guru dan warga sekolah.

“Kerajaan Sarawak melalui peruntukan RTP terus memberikan perhatian terhadap keperluan pembangunan setempat, termasuk kemudahan pendidikan, bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai masyarakat di kawasan DUN Meradong.

“Projek yang diluluskan merangkumi keperluan berbeza, daripada kemudahan pembelajaran dan prasekolah kepada aspek keselamatan, pendawaian serta kemudahan sokongan sekolah,” katanya.

Beliau berharap kesemua projek tersebut dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan disiapkan dengan baik supaya kemudahan yang disediakan dapat digunakan sepenuhnya oleh sekolah terlibat.

“Diharapkan kesemua projek yang diluluskan dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan disiapkan dengan baik demi kepentingan masyarakat serta pembangunan pendidikan di kawasan Meradong,” katanya.