Grid Kuasa Borneo: Perancangan menjadi realiti, kini ke arah pelaksanaan – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama delegasi dari Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam pada Forum Ekonomi Borneo Ke-2 di sebuah hotel di Kuching.

KUCHING, 7 Oktober: Perancangan membentuk Grid Kuasa Borneo semakin menjadi realiti menerusi hubungan tenaga rentas sempadan yang sudah dilaksanakan antara Sarawak dan Kalimantan Barat serta Sarawak dan Sabah, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata perkembangan berkenaan menyediakan asas untuk meneroka peluang lebih luas di bawah Grid Kuasa Borneo yang sedang berkembang serta Grid Kuasa ASEAN.

“Sepuluh tahun lalu, Sarawak menghantar elektron pertama daripada talian kuasa kita merentasi sempadan ke Kalimantan Barat. Hari ini, tenaga yang sama menerangi rumah di Sabah dan tidak lama lagi Brunei,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Borneo Ke-2 bertemakan ‘Membentuk Masa Depan Borneo’ di sini, hari ini.

Sarawak mula mengeksport tenaga elektrik ke Kalimantan Barat pada Januari 2016 menerusi sambungan 275 kilovolt (kV) yang menghubungkan sistem Sarawak dengan Bengkayang, Kalimantan Barat.

Hubungan berkenaan menjadi antara asas awal kepada usaha Sarawak memperluas perdagangan tenaga rentas sempadan, dengan Sarawak Energy kini mengeksport purata sekitar 190 hingga 200 megawatt (MW) tenaga elektrik kepada utiliti nasional Indonesia, Perusahaan Listrik Negara (PLN).

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menyampaikan ucapatama mengenai perkembangan Grid Kuasa Borneo pada Forum Ekonomi Borneo Ke-2 bertemakan ‘Membentuk Masa Depan Borneo’ di sebuah hotel di Kuching.

Perkembangan itu kemudian disusuli sambungan grid Sarawak-Sabah yang mula disegerakkan dan menerima aliran tenaga pada 13 Disember 2025 sebelum dienergikan secara rasmi pada 24 Januari 2026.

Sambungan berkenaan kini membolehkan sehingga 50MW tenaga elektrik disalurkan dari Sarawak ke Sabah, dengan kapasiti berpotensi ditingkatkan tertakluk kepada kesiapsiagaan sistem dan perancangan masa depan.

Abang Johari berkata hubungan tenaga rentas sempadan bukan sekadar memindahkan elektrik dari satu wilayah ke wilayah lain, sebaliknya mampu memperkukuh keselamatan tenaga, meningkatkan integrasi tenaga boleh baharu serta menyokong pembangunan industri yang menggunakan tenaga dalam jumlah besar.

Katanya, hubungan berkenaan turut membuka peluang pelaburan dan pekerjaan di Borneo apabila sumber tenaga, infrastruktur dan aktiviti industri dapat dihubungkan dengan lebih baik.

“Usaha ini memberi kita asas untuk meneroka peluang lebih luas di bawah Grid Kuasa Borneo yang sedang berkembang dan Grid Kuasa ASEAN,” katanya.

Menurutnya, Sarawak mempunyai sumber tenaga yang besar termasuk hidro, solar dan sumber tenaga boleh baharu lain yang boleh menyokong keperluan tenaga serantau.

Beliau berkata hubungan tenaga yang lebih luas juga penting bagi membolehkan sumber tenaga boleh baharu dimanfaatkan bersama infrastruktur dan kerjasama yang diperlukan untuk memperkukuh keselamatan tenaga, menyokong peralihan kepada tenaga bersih serta membuka peluang pertumbuhan ekonomi.

“Untuk merealisasikan potensi ini, kita memerlukan perancangan yang diselaraskan, infrastruktur penghantaran yang sesuai, aturan kawal selia yang boleh memudahkan kerjasama rentas sempadan dan perkongsian pelaburan yang kukuh,” katanya.

DELEGASI dari Indonesia dan Brunei Darussalam antara penyampai yang mewakili negara masing-masing pada Forum Ekonomi Borneo Ke-2.

Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak dan Brunei turut meneroka perhubungan tenaga sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kesalinghubungan grid di Borneo, manakala cadangan sambungan dengan Singapura berada pada peringkat pembangunan dan kelulusan bersyarat.

Cadangan Sarawak-Singapura itu menerima Kelulusan Bersyarat daripada Energy Market Authority (EMA) Singapura pada Oktober 2025 bagi mengimport sekitar 1GW elektrik rendah karbon dari Sarawak. Projek berkenaan dicadangkan untuk beroperasi secara komersial sekitar 2035, tertakluk kepada kelulusan dan keperluan pembangunan seterusnya.

Abang Johari berkata cadangan kesalinghubungan dengan Singapura itu menunjukkan hubungan tenaga Sarawak turut mempunyai potensi melangkaui Borneo.

“Di luar Borneo, Sarawak juga sedang meneruskan cadangan kesalinghubungan dengan Singapura, dengan potensi membekalkan kira-kira 1GW tenaga elektrik boleh baharu melalui kabel penghantaran dasar laut,” katanya.

Beliau berkata usaha menghubungkan sumber tenaga di Borneo perlu dilihat sebagai sebahagian daripada pembangunan ekonomi serantau dan bukan semata-mata perdagangan elektrik.

Katanya, kerjasama lebih erat antara Sarawak, Sabah, Kalimantan dan Brunei Darussalam penting bagi menghubungkan infrastruktur, industri, pasaran dan keupayaan masing-masing bagi membentuk rantaian nilai serantau yang lebih kukuh.

“Di sinilah kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama untuk transformasi perindustrian dan ekonomi Borneo,” katanya.

Abang Johari berkata usaha berkenaan akhirnya dapat mengukuhkan kedudukan Borneo sebagai hab pertumbuhan ekonomi ASEAN dengan memanfaatkan sumber tenaga boleh baharu, kedudukan strategik, sumber asli, biodiversiti dan keupayaan ekonomi yang semakin berkembang.

“Inilah yang kita maksudkan apabila kita bercakap mengenai Sarawak sebagai ‘Bateri ASEAN’,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi