KUCHING, 6 Oktober: Sarawak berpotensi mencapai tahap sara diri beras antara 60 hingga 70 peratus menerusi peningkatan produktiviti tanaman, termasuk penggunaan padi saka yang mampu menghasilkan tuaian berulang tanpa perlu ditanam semula.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, potensi itu berdasarkan andaian padi saka boleh dituai setiap kira-kira tiga bulan dengan hasil sekitar lapan tan sehektar.
“Keadaan itu membolehkan tiga hingga empat musim pengeluaran dalam setahun, sekali gus meningkatkan jumlah hasil berbanding kaedah penanaman biasa.

“Kalau tiga bulan, tidak perlu tanam semula kerana ia tumbuh sendiri. Dalam setahun, sekurang-kurangnya tiga hingga empat musim.
“Kalau hasil sehektar kira-kira lapan tan, tiga kali setahun kita boleh dapat 24 tan sehektar setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Padi Sarawak Ke-2 (SARICON II) 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, pengiraan berkenaan menunjukkan potensi padi saka dalam membantu Sarawak meningkatkan bekalan beras tempatan, dengan kawasan lebih 12,000 hektar digunakan dalam andaian tersebut.

“Pada masa sama, peningkatan pengeluaran perlu disokong dengan penyediaan benih yang sesuai serta penyelidikan bagi mengenal pasti varieti yang mampu memberikan hasil lebih tinggi.
“Kejayaan projek penanaman padi di Lubok Punggor yang kini mencapai kira-kira enam tan sehektar turut menunjukkan hasil boleh ditingkatkan menerusi pengurusan ladang yang lebih baik dan penglibatan sektor swasta,” jelasnya.
Tambah beliau, penglibatan syarikat swasta dalam mengusahakan tanah terbiar memberi peluang kepada petani memperoleh sebahagian daripada hasil, manakala baki hasil boleh dipasarkan.
“Disebabkan kejayaan itu, sektor swasta kini bersedia untuk melabur dalam pengeluaran padi,” ujarnya.
Untuk rekod, SARICON II 2026 berlangsung selama tiga hari di Hotel dan Pusat Konvensyen Raia, Kuching dengan menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, agensi kerajaan, pengamal pertanian, wakil industri dan petani bagi membincangkan masa depan industri padi Sarawak.
Oleh Masrin Affirah





