Premier Sarawak sempurnakan pembukaan hotel The Everly Lesson Kuching

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak memotong reben sebagai simbolik perasmian The Everly Lesson Kuching, di Kuching.

KUCHING, 6 Oktober: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyempurnakan majlis pembukaan rasmi The Everly Lesson Kuching, hotel baharu yang mempunyai 238 bilik dan terletak di Jalan Wan Alwi, di sini.

Hotel berkenaan merupakan sebahagian daripada Everly Group dan terletak bersebelahan Pusat Beli-Belah Mega Vivacity, menawarkan kemudahan penginapan, sajian, mesyuarat serta penganjuran pelbagai acara.

Pengarah Urusan Everly Group, Dennis Tan, berkata hubungan syarikat itu dengan Sarawak bermula sejak 1990 apabila pihaknya dilantik untuk menguruskan Hotel Rajah Court di Kuching.

“Kami berjaya memulihkan hotel itu dalam tempoh tiga bulan selepas dilantik dan terus menguruskannya sehingga 2000.

“Dalam tempoh itu, kami turut mereka bentuk Pelagus Resort serta meningkatkan kecekapan perniagaan Hotel Mega Miri, termasuk kemudahan dewan bankuet dan kolam renang di atas deretan rumah kedai.

PENGARAH Urusan Everly Group, Dennis Tan berucap pada Majlis Perasmian hotel The Everly Lesson Kuching di sebuah pusat beli-belah terkemuka Kuching.

“Hotel Park City Everly Bintulu pula merupakan projek seterusnya yang kami sertai sejak peringkat konsep, membolehkan kami mereka bentuk campuran perniagaan dan kecekapan operasi yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian The Everly Lesson Kuching di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, hari ini.

Tambah beliau, Everly Group turut berjaya memulihkan sebuah hotel di Miri dalam tempoh tiga bulan selepas dilantik untuk menguruskannya, selain terlibat dalam reka bentuk operasi hotel yang pada asalnya dikenali sebagai The Everly Sibu dan kini dikenali sebagai Hotel RH.

“Keutamaan syarikat kami adalah mereka bentuk perniagaan hotel baharu bagi mengoptimumkan kawasan tadahan dan memastikan hotel mampu menjana keuntungan dengan pelaburan serendah mungkin.

“Bagi hotel sedia ada, kami memberi jaminan peningkatan keuntungan atau pemulihan dalam tempoh enam bulan dan setakat ini kami telah berjaya memulihkan 14 hotel serta sebuah padang golf,” jelasnya.

PREMIER Sarawak menyempurnakan sesi tandatangan perasmian The Everly Lesson Kuching pada majlis pembukaan rasmi hotel berkenaan di Kuching.

Dennis berkata, selepas 26 tahun meninggalkan Kuching, pihaknya berbesar hati apabila diberi kepercayaan untuk memuktamadkan reka bentuk serta menguruskan The Everly Lesson Kuching.

“Hotel ini dibuka kira-kira enam bulan lalu dan sudah mencapai aliran tunai positif, selain berada di tempat kedua dalam media sosial dalam kalangan hotel utama di Kuching,” ujarnya.

Untuk rekod, The Everly Lesson Kuching menyediakan 238 bilik dengan pilihan termasuk bilik keluarga, bilik loteng, bilik dan suite eksekutif, selain kolam renang di atas bumbung, gimnasium, ruang eksekutif serta kemudahan mesyuarat.

Bagi kemudahan sajian, Restoran Eastern City menawarkan hidangan tempatan dan antarabangsa termasuk Bintangor Kampua, Bintangor Rojak, Nasi Goreng Bunga Kantan dan Sarawak Laksa.

Kafe Fuze pula menyediakan hidangan ringan, pastri dan kopi, manakala Skybar De Sepik menawarkan ruang santai di atas bumbung dengan pemandangan bandar raya Kuching.

PREMIER Sarawak hadir pada Majlis Perasmian hotel The Everly Lesson Kuching di sebuah pusat beli-belah terkemuka Kuching.

Hotel itu turut menyediakan Dewan Grand Lesson, Ruang Eksekutif serta Bilik Mesyuarat Diamond dan Pearl untuk penganjuran majlis perkahwinan, persidangan, acara korporat dan sambutan persendirian.

The Everly Lesson Kuching yang mengetengahkan konsep hospitaliti Sarawak itu kini menerima tempahan bilik dan ruang acara untuk pelanggan serta pengunjung.

Oleh Masrin Affirah