Baru seminggu jadi ejen judi, wanita 32 tahun ditahan dalam Op Dadu di Kabong

Facebook
WhatsApp
SEORANG wanita tempatan berusia 32 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian tambah nilai atas talian di sebuah kedai runcit di pekan Kabong. Foto: IPD Saratok

KABONG, 5 Oktober: Seorang wanita tempatan berusia 32 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian tambah nilai atas talian di sebuah kedai runcit di pekan Kabong, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dilakukan sekitar 3.30 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dalam Op Dadu.

Beliau berkata, operasi berkenaan diketuai Inspektor Henry Muji sebelum pasukan serbuan menahan suspek yang berada bersendirian di kaunter dalam premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo Y04 berwarna emas serta sejumlah wang tunai campur-campur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku menjalankan aktiviti sebagai ejen jualan judi tambah nilai atas talian di sekitar pekan Kabong.

Suspek yang berasal dari Kapit dan telah menetap di Kabong selepas berkahwin kira-kira dua tahun lalu dipercayai menjalankan kegiatan itu sebagai sumber pendapatan sampingan.

DSP Mathew berkata, suspek yang mempunyai dua orang anak itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dipercayai baru seminggu menjalankan aktiviti berkenaan selepas mula bekerja di kedai runcit tersebut.

“Suspek dipercayai menyasarkan pelanggan di sekitar pekan Kabong bagi kegiatan jualan judi tambah nilai atas talian itu,” katanya.

Ujian saringan air kencing terhadap suspek turut didapati negatif, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata, operasi berkenaan merupakan antara tindakan berterusan polis membanteras kegiatan perjudian haram, khususnya aktiviti perjudian atas talian yang berselindung di sebalik premis perniagaan.

Kes tersebut kini telah diselesaikan selepas proses tangkapan dan rampasan dijalankan untuk tindakan siasatan lanjut.

Oleh Adi Safarman