KUCHING, 5 Oktober: Orang ramai berpeluang memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, mendiang Datuk Song Swee Guan, apabila iringan jasad beliau dijadual melalui Ibu Pejabat MBKS, Rabu ini.
Penghormatan berkenaan dijadual berlangsung pada 11.15 pagi, 7 Oktober, sebagai sebahagian daripada perjalanan iringan jasad mendiang.
MBKS dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ahli Majlis, warga kerja serta orang ramai berpeluang berkumpul di ibu pejabat berkenaan untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum iringan jasad meneruskan perjalanan.
Mendiang Song mempunyai hubungan rapat dengan pentadbiran Kuching apabila pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Perbandaran Kuching sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar pertama Kuching Selatan.
Beliau kemudiannya meneruskan khidmat dalam arena negeri sebagai Speaker DUN Sarawak, selain menyumbang dalam pelbagai tanggungjawab berkaitan perkhidmatan awam.
MBKS berkata sumbangan dan khidmat mendiang kepada Kuching, Sarawak serta masyarakat sepanjang tempoh perkhidmatannya akan terus dikenang.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang dialu-alukan hadir di Ibu Pejabat MBKS pada 11.15 pagi, Rabu ini.



