Satelit Sarawak bukan sekadar ke angkasa, data mesti kembali beri nilai ekonomi

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucaptama pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) ke-9 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

KUCHING, 5 Oktober: Usaha Sarawak membangunkan teknologi satelit bukan sekadar untuk mencapai kejayaan menghantar satelit ke angkasa, sebaliknya data yang diperoleh perlu diterjemahkan kepada nilai ekonomi dan manfaat sebenar kepada negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, nilai utama teknologi berkenaan terletak pada keupayaan mengumpul data yang boleh digunakan untuk menyokong perancangan, pengurusan sumber dan pembangunan pelbagai sektor.

Menurutnya, antara data yang boleh diperoleh menerusi teknologi satelit ialah imej bumi, maklumat geolokasi serta maklumat strategik yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan perancangan.

Katanya, keupayaan tersebut membuka ruang untuk penggunaan data satelit dalam sektor yang mempunyai kepentingan langsung kepada ekonomi dan pembangunan Sarawak, termasuk pertanian, perhutanan serta pengurusan sumber asli.

“Nilai (satelit) adalah pada data, termasuk imej bumi, geolokasi dan maklumat strategik untuk perancangan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) ke-9 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Abang Johari berkata, data daripada satelit turut boleh digunakan bagi menyokong pengurusan alam sekitar serta tindak balas terhadap bencana, sekali gus membantu pihak berkaitan mendapatkan maklumat yang lebih menyeluruh dalam membuat keputusan.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kenamaan yang lain merakam gambar kenangan di ruang bergambar Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) ke-9 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Menurutnya, penggunaan data berkenaan juga berpotensi memperkukuh pengurusan sumber asli Sarawak dengan menyediakan maklumat dari perspektif yang lebih luas dan konsisten.

Beliau berkata, teknologi satelit tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut keupayaan teknikal untuk berada di orbit, tetapi perlu dinilai berdasarkan sejauh mana maklumat yang dikumpulkan dapat digunakan untuk menyelesaikan keperluan sebenar di bumi.

Katanya, selain sektor pertanian dan perhutanan, data satelit berpotensi menyokong penyelidikan, kejuruteraan dan pembangunan perniagaan baharu berasaskan teknologi serta maklumat yang diperoleh.

“Data ini boleh menyokong pertanian, perhutanan, pengurusan alam sekitar, tindak balas bencana, pengurusan sumber asli, penyelidikan, kejuruteraan dan perniagaan baharu,” katanya.

Abang Johari berkata, pendekatan itu selari dengan usaha Sarawak membangunkan keupayaan tempatan dalam bidang aeroangkasa dan teknologi, termasuk sasaran membangunkan nanosatelit pertama negeri menggunakan teknologi CubeSat menjelang 2030.

Menurutnya, pembangunan teknologi angkasa perlu bergerak seiring dengan pembinaan kepakaran, penyelidikan dan aplikasi supaya manfaatnya dapat dirasai dalam ekonomi serta pembangunan Sarawak, bukan terhenti sebagai pencapaian teknologi semata-mata.

Oleh Shahrul Qaizat