Dua suspek ditahan, dadah RM30, 595 dirampas

Facebook
WhatsApp
RAMPASAN dadah dan pil psikotropik bernilai kira-kira RM30,595 dalam operasi di sekitar Kuching, 2 Oktober lalu.

KUCHING, 4 Oktober: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan serta merampas dadah dan pil psikotropik bernilai kira-kira RM30, 595 dalam operasi di sekitar Kuching, 2 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata kedua-dua suspek masing-masing berusia 55 dan 38 tahun ditahan di kawasan ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Suspek kemudian membawa pasukan polis ke tiga lokasi untuk pemeriksaan iaitu kawasan parkir kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, sebuah rumah di Taman Sri Wangi dan sebuah premis di Jalan Datuk Tawi Sli.

“Hasil pemeriksaan di ketiga-tiga lokasi itu menemukan dadah disyaki ketamin seberat 128.30 gram serta 30,180 pil psikotropik disyaki jenis Nospan seberat 5,608 gram.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM30,595,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Mengulas lanjut, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki negatif dadah, manakala suspek wanita positif dadah jenis ketamin.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau pula mendapati suspek lelaki mempunyai 10 rekod jenayah lampau, manakala suspek wanita mempunyai satu rekod.

“Kedua-dua suspek kini direman selama enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Alexson berkata kejayaan itu hasil risikan berterusan polis serta kerjasama orang awam.

Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah boleh menyalurkannya menerusi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-2087222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-5929211.

Oleh Masrin Affirah