SIMANGGANG: Sebanyak 16 buah bot nelayan yang dihiasi Jalur Gemilang menyurusi Sungai Batang Lupar sejauh kira- kira 5 kilometer (km) bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64, dekat sini semalam.
Perarakan tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Nelayan Kawasan Lemanak yang melibatkan nelayan-nelayan di kawasan kampung terbabit.
Inisiatif ini diambil bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan negara dalam kalangan nelayan seterusnya menceriakan sambutan Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun.
Nelayan di sini merasa cukup teruja dan bertuah kerana menikmati kehidupan yang makmur dan boleh mencari rezeki dengan mudah.
Perjalanan sejauh 5 km bermula dari jeti Kampung Lemanak Sri Aman menuju ke Dermaga Pasir Panas dan berpatah balik menuju ke Dataran Taman Tebingan Sungai Batang Lupar di Bandar Simanggang itu dimeriahkan dengan kibaran Jalur Gemilang sambil diiringi nyanyian lagu patriotik.
“Sambutan Hari Kebangsaan kali ini mendapat sambutan luar biasa kerana kita membuat kelainan dengan mengadakan perarakan di sungai, dan ia julung kalinya dianjurkan.
“Walaupun ringkas, ia tetap berlangsung meriah dan menunjukkan semangat patriotik golongan nelayan tetap tinggi.
“InsyaAllah kita akan adakan sambutan ini sebagai acara tahunan berikutan sambutan menggalakkan daripada Jawatankuasa Nelayan Kawasan Lemanak,” kata jurucakap program itu semalam.
Beliau berkata pihaknya sedang dalam perancangan untuk membuat aktiviti seumpama itu pada sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September nanti.
“Ya…kita sememangnya dalam perancangan untuk mengadakan aktiviti serupa pada 16 September nanti, disebabkan sambutan daripada nelayan-nelayan yang amat menggalakkan dan kita akan melakukan kelainan daripada yang dibuat pada hari ini,” ujarnya.
Tambah beliau, aktiviti itu telah mengikut garis panduan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 dan pihaknya terdahulu sudahpun memohon kebenaran daripada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sri Aman untuk melaksanakan aktiviti berkenaan sebelum ini.
Oleh ADI SAFARMAN