ENGKILILI: Kaki libas dari seluruh Sarawak dipelawa menyertai Kejohanan Sepak Takraw Terbuka 2026 Piala YB Tuan Roy Angau Gingkoi, yang bakal berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober 2026.
Kejohanan berkenaan akan diadakan di Gelanggang Sepak Takraw SMK Engkilili, sekali gus membuka peluang kepada pasukan sepak takraw dari seluruh Sarawak untuk berentap dalam saingan yang dijangka menarik.
Penganjur memaklumkan penyertaan adalah terhad kepada hanya 24 pasukan terawal, justeru pasukan yang berminat digalakkan mendaftarkan penyertaan lebih awal bagi mendapatkan tempat dalam kejohanan tersebut.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM200 bagi setiap pasukan, dengan hadiah utama menawarkan RM2,500 berserta piala dan medal kepada johan.
Naib johan pula bakal membawa pulang RM1,200 berserta piala dan medal, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM300 serta medal.
Selain hadiah utama, beberapa anugerah individu turut disediakan termasuk Pemain Paling Bernilai (MVP), Tekong Terbaik, Apit Kanan Terbaik dan Apit Kiri Terbaik, sekali gus memberi ruang kepada pemain menyerlahkan kemahiran serta prestasi terbaik sepanjang kejohanan.
Pihak penganjur menyeru kaki libas seluruh Sarawak supaya tidak melepaskan peluang menyertai kejohanan berkenaan dan bersama-sama memeriahkan arena sepak takraw tempatan.
Pasukan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut atau membuat pendaftaran melalui WhatsApp 014-893 0626 (Jimmy Judan).
Oleh Adi Safarman





