NAGOYA: Pemain muda negara C. Ameeshenraj muncul wira skuad skuasy lelaki Malaysia apabila kemenangan dramatiknya membantu menyingkirkan juara bertahan India 2-1 pada aksi separuh akhir acara berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Arena Nagoya Kinjo Futo, hari ini.
Kejayaan itu membawa Malaysia ke final dan sekurang-kurangnya menyamai pencapaian pada Sukan Asia 2018, selain memperbaiki keputusan gangsa yang diraih pada edisi Hangzhou 2022.
Malaysia membuka langkah kanan menerusi Ng Eain Yow yang menewaskan Abhay Singh 11-8, 11-8, 11-8 sebelum India menyamakan kedudukan apabila Sanjay Jeeva tewas kepada Veer Chotrani 4-11, 8-11, 5-11.
Dengan kedudukan terikat 1-1, Ameeshenraj memikul tugas getir dalam aksi penentuan menentang Velavan Senthilkumar.
Selepas kehilangan set pertama, Ameeshenraj bangkit mempamerkan permainan lebih kemas untuk menundukkan Velavan 10-12, 11-6, 11-8, 11-9, sekali gus mengesahkan kemaraan Malaysia ke final.
Ameeshenraj berkata beliau sentiasa percaya mampu menggalas tanggungjawab itu meskipun berdepan tekanan dalam perlawanan yang menentukan nasib pasukan.
“Saya sentiasa percaya bahawa saya mampu melakukannya hari ini. Ia bukan mudah, saya perlu bermain mata demi mata dan banyak bersabar.
“Perlawanan penentuan adalah antara aksi paling mengujakan bagi saya dan saya sentiasa menantikannya. Saya benar-benar mahu beraksi dengan baik hari ini dan saya rasa berjaya melakukannya serta membanggakan pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Mengulas tekanan sebelum turun ke gelanggang, Ameeshenraj berkata status India sebagai pilihan utama memberinya keyakinan untuk beraksi lebih bebas tanpa terlalu memikirkan keputusan.
Beliau turut mendedahkan melakukan perubahan taktikal selepas tewas set pertama apabila menyedari Velavan mula dapat membaca corak permainannya.
Malaysia akan berdepan Pakistan pada final esok selepas pasukan itu menewaskan Hong Kong 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Skuad lelaki negara kali terakhir memenangi pingat emas acara berpasukan pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.- Bernama




