Kuching City benam Sabah 4-1 dalam aksi persahabatan

Facebook
WhatsApp
KEPUTUSAN sepenuh masa perlawanan persahabatan Kuching City menentang Sabah di Stadium Taha Ariffin, malam ini.

KUCHING: Kuching City FC menampilkan aksi meyakinkan apabila membelasah Sabah FC 4-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Taha Ariffin, Kuching, malam ini.

Skuad tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi Ajdin Mujagic selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Sabah di dalam kotak penalti.

Kuching City kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-30 menerusi Wenzel Halls, yang menerima hantaran Petrus Shitembi sebelum memperdayakan seorang pemain Sabah dengan gerakan licik dan melepaskan rembatan kaki kiri tepat ke penjuru bawah gawang.

Tiga minit kemudian, Mohammad Ramadhan Saifullah Usman menjadikan kedudukan 3-0 selepas menerima hantaran jauh Shitembi sebelum berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Sabah dan tenang menyudahkan peluang tersebut.

Sabah bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi Gonzalo Ignacio De Renzo pada minit ke-45, menjadikan kedudukan 3-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Kuching City terus menguasai permainan dan menambah gol keempat pada minit ke-53 menerusi Ajdin Mujagic, yang menanduk masuk hantaran lintang tepat daripada Muhammad Safawi Rasid.

Kedua-dua pasukan kemudian melakukan beberapa pertukaran pemain bagi memberi peluang kepada pemain lain beraksi, namun tiada tambahan jaringan selepas itu.

Kuching City akhirnya mengekalkan kelebihan 4-1 sehingga wisel penamat untuk merekodkan kemenangan dalam aksi persahabatan tersebut.

Untuk rekod, beberapa pemain Kuching City tidak disenaraikan dalam skuad bagi perlawanan ini termasuk James Okowusa, Ngah Wanja, Filemon Anyie dan Joao Pedro, manakala Nazmi Faiz dan Haziq Nadzli dilaporkan bersama skuad Malaysia bagi tugasan antarabangsa.

Oleh Shahrul Qaizat