24 tahun dalam industri, Misha Omar tetap dahagakan ilmu

Facebook
WhatsApp

PETALING JAYA: Biarpun sudah 24 tahun berkecimpung dalam industri muzik, penyanyi Misha Omar tidak pernah menganggap dirinya telah sempurna ilmu, sebaliknya beliau sentiasa mencari ruang untuk belajar dan membaiki diri.

Misha, atau nama sebenarnya Samihah Aisah Omar, 44, berkata prinsip itu menjadi pegangannya dalam mengembangkan kerjaya seni, sementelah bidang nyanyian memerlukan proses pembelajaran yang berterusan.

“Di saat kita rasa kita dah cukup (bagus), habislah. Kita perlu berkembang, setiap hari adalah hari baharu dan menjadi peluang untuk kita meningkatkan diri dalam semua benda,” katanya ketika sesi media eksklusif bagi mempromosikan persembahan Misha Omar – Aku & Lelaki di sini, semalam.

Selesa meletakkan dirinya sebagai pelajar, pelantun Bunga-Bunga Cinta itu berkata beliau kini konsisten mendapatkan bimbingan daripada dua guru vokal, Shaffiq Erwin dan Datuk Shafinaz Selamat, bagi memperkemas teknik serta kawalan vokalnya.

“Seiring dengan peningkatan usia, emosi, tenaga dan ketangkasan perlu dijaga. Oleh sebab itu saya konsisten berguru kerana ilmu nyanyian ini adalah proses pembelajaran berterusan,” katanya yang berazam mahu sentiasa memberikan yang terbaik kepada peminat.

Mengulas Misha Omar – Aku & Lelaki yang bakal berlangsung di JioSpace di sini pada 24 Oktober depan, Misha berkata beliau menjalani latihan sejak lebih empat bulan lalu sebagai persiapan fizikal dan vokal, yang turut membantunya mengenal pasti perubahan dari segi kekuatan fizikal dan emosi beliau.

“Memang nampak perubahan dari segi kekuatan fizikal dan emosi, cuma saya perasan saya cepat penat. Tapi saya mahu memberikan yang terbaik untuk peminat yang sudah membeli tiket dan menyokong saya,” katanya.

Sementara itu, Misha berkata perancangan untuk mengadakan konsert bersempena dengan ulang tahun ke-25 beliau dalam industri muzik tahun depan terpaksa ditangguhkan berikutan pelbagai agenda besar yang dijadualkan berlangsung pada tahun berkenaan.

Pun begitu beliau memilih untuk melihat secara positif akan penangguhan konsert yang sepatutnya meraikan jubli perak penglibatannya dalam dunia nyanyian itu. 

“Mungkin Allah beri saya masa untuk cipta lebih banyak lagu, tambah lagi katalog sebelum kita buat konsert ulang tahun ke-25 itu,” katanya. – Bernama