KUALA LUMPUR: Di saat kebanyakan pelajar baharu melangkah ke kampus ditemani ibu bapa dan keluarga, seorang mahasiswa dari Sarawak membuktikan bahawa keberanian dan semangat berdikari mampu mengatasi cabaran apabila hadir seorang diri untuk mendaftar di Universiti Malaya (UM).
Kisah menyentuh hati itu dikongsikan menerusi hantaran di Facebook Universiti Malaya hari ini, membabitkan Eunice Eno Tingai, pelajar cemerlang lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rosli Dhoby, Sibu.
Hari pendaftaran yang lazimnya dipenuhi suasana kegembiraan bersama keluarga menjadi pengalaman berbeza buat Eunice apabila beliau terpaksa menguruskan segala urusan pendaftaran tanpa ditemani ahli keluarga.
Meskipun tiba di Kuala Lumpur bersama ibunya pada 25 September lalu, keadaan kecemasan memaksa ibunya pulang lebih awal ke Sarawak.
Bagi seorang ibu, meninggalkan anak yang bakal memulakan kehidupan baharu di universiti bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, kepercayaan terhadap kemampuan Eunice untuk berdikari menjadi kekuatan buat mereka berdua menghadapi detik tersebut.

Lebih mencabar, perjalanan dari Sibu ke Kuala Lumpur itu merupakan pengalaman pertama Eunice berjauhan daripada keluarganya. Walaupun berdepan perasaan gementar, beliau tetap cekal melangkah ke hadapan demi mengejar impian dalam bidang undang-undang.
Eunice yang bakal mengikuti pengajian di Fakulti Undang-undang dan menetap di Kolej Kediaman Pertama mengakui teruja untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa UM.
Kehangatan sambutan dan bantuan yang diberikan oleh petugas UM-WOW sepanjang proses pendaftaran turut membantu meningkatkan keyakinannya.
“Sambutan mesra yang diberikan membuatkan saya berasa lebih selesa dan yakin walaupun tanpa ditemani keluarga,” katanya.
Kisah Eunice menjadi simbol ketabahan, keberanian dan pengorbanan yang dilalui ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak demi mengejar pendidikan tinggi.

Walaupun terpisah ribuan kilometer dari kampung halaman, sokongan dan doa keluarga sentiasa menjadi sumber kekuatan buat dirinya.
Perkongsian tersebut turut mengundang perhatian warga maya yang rata-rata memuji semangat kental Eunice serta mendoakan kejayaannya sepanjang bergelar mahasiswa di Universiti Malaya.
“Kadangkala, langkah paling berani dalam hidup adalah melangkah ke hadapan seorang diri. Eunice telah membuktikannya.”
Oleh Adi Safarman





