LESTARI sasar 15 juta peranti diurus secara lestari menjelang 2030

Facebook
WhatsApp
MENTERI Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil menyempurnakan pelancaran LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (SFR2030) di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 juta peranti disasarkan untuk diurus secara lestari menjelang 2030 menerusi LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (SFR2030), dalam usaha memperkukuh agenda kelestarian sektor komunikasi dan multimedia negara.

Sasaran itu merangkumi penggunaan semula, naik taraf atau penggantian kepada teknologi yang lebih cekap, selain pelaksanaan kitar semula secara bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil hari ini menyempurnakan pelancaran LESTARI yang merupakan rangka kerja strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menetapkan hala tuju kelestarian sektor telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier menuju 2030.

Menerusi inisiatif itu, MCMC bersama pemain industri akan melaksanakan tindakan yang memberi impak kepada rakyat dan alam sekitar, termasuk menyokong peralihan sektor komunikasi dan multimedia ke arah aspirasi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.

DATO’ Seri Fahmi Fadzil berucap pada majlis pelancaran LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (SFR2030) di Kuala Lumpur, hari ini.

LESTARI turut memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi kitaran melalui pengurangan sisa elektronik (e-sisa), pemanjangan hayat peranti serta peningkatan akses kepada teknologi pada kos lebih mampu milik.

Peranti yang masih boleh digunakan akan dibaik pulih dan digunakan semula bagi membantu mengurangkan kos pemilikan, sekali gus memperluas akses kepada teknologi khususnya dalam kalangan golongan rentan dan berpendapatan rendah.

Selain pengurangan e-sisa dan penggunaan sumber secara lebih cekap, inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lima juta rakyat menerusi pelbagai program impak sosial yang dilaksanakan MCMC bersama pemain industri.

Rangka kerja itu dibangunkan bersama industri menerusi sesi libat urus membabitkan 116 peserta daripada 47 organisasi.

LESTARI berlandaskan tiga teras utama iaitu Kelestarian Iklim dan Alam Sekitar; Impak Sosial dan Keterangkuman; serta Teknologi dan Inovasi.

Teras Kelestarian Iklim dan Alam Sekitar memberi tumpuan kepada kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan karbon, tenaga boleh baharu, ekonomi kitaran dan daya tahan infrastruktur.

DATO’ Seri Fahmi Fadzil bersama wakil daripada 15 organisasi yang telah menandatangani ikrar sokongan terhadap LESTARI dan NZCA.

Teras Impak Sosial dan Keterangkuman pula merangkumi aspek keterangkuman, keselamatan, kemahiran dan kesejahteraan rakyat, manakala Teknologi dan Inovasi menumpukan penggunaan teknologi, kecerdasan buatan (AI) serta inovasi rendah karbon untuk mempercepatkan penyelesaian berkaitan kelestarian.

Pelaksanaan LESTARI akan dipantau secara berkala berdasarkan sasaran dan petunjuk yang ditetapkan bersama industri bagi memastikan setiap inisiatif mencapai hasil disasarkan.

Pada masa sama, Net Zero & Circularity Alliance (NZCA) turut diperkenalkan sebagai platform kerjasama industri bagi mengurangkan pelepasan karbon serta memperluas usaha pengumpulan, penggunaan semula dan kitar semula peranti secara lebih tersusun.

Sebagai komitmen awal terhadap agenda berkenaan, sebanyak 15 organisasi daripada pelbagai segmen ekosistem digital telah menandatangani ikrar sokongan terhadap LESTARI dan NZCA.

PELANCARAN LESTARI menjadi antara langkah memperkukuh agenda kelestarian sektor komunikasi dan multimedia negara menuju 2030.

Organisasi terbabit ialah 3Cat Sdn. Bhd., APR Electronics Services Sdn. Bhd., Blue Bee Technologies Sdn. Bhd. (ERTH), CelcomDigi Berhad, CompAsia Sdn. Bhd., EDOTCO Group Sdn. Bhd., GD Express Sdn. Bhd., Maxis Berhad dan Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. (Astro).

Turut menandatangani ikrar berkenaan ialah Media Prima Berhad, Pos Malaysia Berhad, Shan Poornam Metals Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Berhad, Time dotCom Berhad dan U Mobile Sdn. Bhd.

Rangka kerja itu turut diselaraskan dengan Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13, National Energy Transition Roadmap (NETR), komitmen iklim Malaysia serta aspirasi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih seawal 2050.