Eksklusif: Skuter satukan mereka, perjalanan eratkan persaudaraan

Facebook
WhatsApp
MINAT terhadap skuter menyatukan ahli Borneo Scoot Syndicate (BSS) dalam setiap perjalanan yang ditempuhi bersama.

KOTA SAMARAHAN: Setiap perjalanan mempunyai cerita tersendiri. Ada yang bermula sebagai satu minat, namun akhirnya menemukan mereka dengan sahabat yang sanggup bersama menempuh ratusan kilometer di atas jalan raya.

Bagi komuniti Borneo Scoot Syndicate (BSS), skuter bukan sekadar sebuah jentera beroda dua. Di sebalik setiap perjalanan, tersimpan cerita tentang persahabatan, kesetiaan dan pengalaman yang mengubah sekumpulan peminat skuter menjadi sebuah keluarga.

Segalanya bermula daripada sekumpulan Vario Sarawak yang berkongsi minat sama terhadap skuter dan aktiviti permotoran sebelum hubungan itu berkembang menerusi ‘ride’, pertemuan serta perjalanan bersama.

AHLI komuniti Borneo Scoot Syndicate (BSS) merakam kenangan bersama dalam salah satu aktiviti mereka.

Daripada individu yang pada awalnya hanya berkongsi minat terhadap jentera, mereka akhirnya disatukan oleh jalan raya apabila setiap kilometer yang ditempuh membuka ruang kepada persahabatan baharu dan mencipta kenangan yang sukar dilupakan.

Bagi Melvin, tarikan dunia skuter terletak pada pengalaman yang tercipta sepanjang perjalanan kerana destinasi bukan satu-satunya perkara yang dicari oleh mereka.

“Bagi kami, skuter bukan sekadar untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Melaluinya kami bertemu ramai orang, membina persahabatan dan mencipta kenangan bersama.

“Apabila melakukan perjalanan jauh, kami akan pastikan tiada sesiapa ditinggalkan. Kalau seorang berdepan masalah, kami semua akan berhenti dan membantu,” katanya.

Semangat itu pernah benar-benar diuji ketika salah sebuah skuter mengalami masalah dalam satu perjalanan jarak jauh.

SEIRING SEJALAN…Barisan skuter Borneo Scoot Syndicate (BSS) mewarnai perjalanan mereka dalam menjelajah pelbagai destinasi.

Perjalanan yang sepatutnya diteruskan terpaksa terhenti, namun tiada seorang pun memilih untuk meninggalkan rakan mereka sendirian. Sebaliknya, semua turun membantu sehingga masalah dapat ditangani sebelum perjalanan disambung semula.

Kejadian tersebut mungkin hanya satu daripada banyak cabaran di jalan raya, tetapi bagi mereka, itulah saat yang membuktikan bahawa sebuah ‘ride’ bukan sekadar tentang siapa paling pantas sampai ke destinasi.

Malah, perjalanan jauh turut membawa mereka berdepan cuaca tidak menentu, keletihan serta keadaan jalan yang mencabar, sekali gus menguji bukan sahaja kemampuan jentera tetapi ketahanan dan semangat setiap penunggang.

Atas sebab itu, keselamatan dan disiplin tidak pernah dikompromi. Setiap ahli perlu memastikan skuter berada dalam keadaan baik, memakai kelengkapan keselamatan, mematuhi peraturan jalan raya serta menjaga kedudukan ketika bergerak secara berkumpulan.

SEMANGAT…Borneo Scoot Syndicate (BSS) terus menyemarakkan budaya permotoran sihat menerusi aktiviti yang mengutamakan disiplin, keselamatan dan persaudaraan.

Bob Yunus berkata, persaudaraan yang dibina sepanjang perjalanan kini mahu dibawa lebih jauh dengan memperkenalkan komuniti skuter Sarawak kepada peminat dari luar negeri.

“Kami mahu orang melihat komuniti skuter Sarawak bukan hanya kerana jentera yang kami tunggang, tetapi kerana disiplin, keselamatan dan persahabatan yang kami bawa.

“Kami mahu komuniti ini berkembang lebih jauh dan suatu hari nanti dikenali bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Langkah seterusnya bakal diterjemahkan menerusi Piknik Skuter 2026 yang dijadual berlangsung dari 25 hingga 27 Disember ini di Chalet Pantai Tanjung Kembang, Kabong.

DERETAN skuter milik ahli Borneo Scoot Syndicate (BSS) menghiasi persisiran pantai ketika singgah dalam satu perjalanan bersama.

Membawa konsep ‘Tunggangan, Berkelah dan Persaudaraan’, program yang menjadi antara pengisian utama Festival Pantai Tanjung Kembang 2026 itu bakal menghimpunkan komuniti serta peminat skuter dari dalam dan luar Sarawak dalam suasana santai berteraskan kekeluargaan dan persaudaraan.

Perhimpunan, tunggangan bersama, pameran kenderaan serta aktiviti komuniti antara pengisian dirancang, selain membawa misi memperkenalkan Kabong dan Pantai Tanjung Kembang sebagai destinasi pelancongan, rekreasi serta aktiviti permotoran.

Kerana akhirnya, di sebalik setiap perjalanan beratus kilometer, apa yang mereka bawa pulang bukan sekadar gambar atau catatan jarak perjalanan tetapi sebuah persaudaraan yang lahir dan terus hidup di atas jalan raya.

Oleh Norman B

Dakwat pada kulit, cerita dalam jiwa

KUCHING: Setiap kali jarum menyentuh kulit, bukan sekadar dakwat yang ditinggalkan. Di sebalik setiap garisan dan corak, tersimpan cerita, kenangan