KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kuching hari ini menyalurkan bantuan kewangan bencana berjumlah RM42,000 kepada 31 keluarga yang terjejas akibat cuaca buruk bulan lalu, khususnya bagi membantu menampung kos membaiki bumbung dan kerja pemulihan lain.
Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong berkata, bantuan pusingan kedua itu menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kewangan bencana yang disalurkan DAP Kuching hampir RM100,000, membabitkan 62 keluarga terjejas.
Menurut mereka, bantuan pusingan pertama berjumlah RM56,000 telah disalurkan kepada 31 keluarga.
Bagi bantuan terkini, setiap keluarga menerima antara RM1,000 hingga RM2,500, bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami.
“Pemulihan selepas bencana mengambil masa, namun kami berharap bantuan praktikal ini dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung keluarga terjejas,” kata mereka pada sidang media hari ini.
Susulan kejadian ribut bulan lalu, Yong dan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen bersama pasukan masing-masing telah mengunjungi kediaman yang terjejas bagi menilai kerosakan, mendengar masalah penduduk serta mengenal pasti keperluan segera.
Menurut mereka, pasukan berkenaan turut bekerja sepanjang bulan lalu untuk menghubungi keluarga terjejas, mengumpul dan mengesahkan maklumat serta menyelaras penyaluran bantuan secepat mungkin.
Mereka turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota pasukan atas usaha dan komitmen dalam memastikan bantuan disalurkan kepada keluarga yang memerlukan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika cuaca buruk, terutama di kawasan berisiko berlaku kejadian pokok tumbang, objek jatuh atau bahaya lain.
Keselamatan diri dan keluarga juga perlu sentiasa diutamakan ketika berdepan keadaan cuaca buruk.
Oleh Connie Chieng




