SARATOK: Hadiah wang tunai berjumlah RM16,500 keseluruhan serta gelaran Raja Sungai menjadi taruhan utama 26 pasukan yang akan berentap dalam Regata Krian sempena Pesta Saratok 2026, dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Saingan dijangka berlangsung sengit di Tebingan Sungai Krian, Saratok dengan pelbagai kategori perlumbaan bidar yang menguji kepantasan, kekuatan dan kesepaduan setiap pasukan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Regata Krian sempena Pesta Saratok 2026, Kaunselor Kasdi Pandi berkata, taklimat dan sesi cabutan undi lorong bagi acara berkenaan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok, semalam.
Menurutnya, penganjuran Regata Krian tahun ini mempertandingkan acara bidar 10, 15, 20, 25 dan 30 pekayuh, selain acara pecut bagi kategori berkenaan.
Katanya, kepelbagaian kategori itu dijangka memberikan saingan menarik kepada penonton yang hadir menyaksikan perlumbaan secara langsung dari Tebingan Sungai Krian.
“Selain acara bidar, turut dipertandingkan ialah acara 30 Maraton serta bidar 10 kategori Veteran,” katanya.
Sebanyak 26 pasukan telah mengesahkan penyertaan bagi Regata Krian 2026, sekali gus menjanjikan persaingan sengit untuk merebut kejuaraan dan gelaran Raja Sungai.
Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah Todak Berjaya, Ratu Dang Hubu, Lanun Dinara Cut, Panglima Lanun, Sinaran Burung Garuda, Blue Marlin, Gerak Kilat dan Salem Jaya.
Turut menyertai saingan ialah Pancaran Sinar Pelangi, Maradona, Sinaran Kupang.com, Sinaran Baru Kampung Kaba, Sri Sarawak 1, Landas Cahaya Helang Tasik, Landas Saga Sebuyo dan Sri Sarawak 2.
Pasukan lain termasuk Dinara Masyara, Barracuda, Lanun Dinara Cut 88, LCHT, Puteri Krian N39 Krian, Warisan Temudok Putri Bunut, Buloh Inn Permata Biru, Dang Esah Tandang Sari serta Raja Burung Terbai Laju.
Dengan penyertaan pasukan yang mempunyai nama dan reputasi tersendiri dalam arena perlumbaan sungai, Regata Krian 2026 dijangka menjadi antara tarikan utama Pesta Saratok tahun ini.
Orang ramai, khususnya penduduk Saratok dan kawasan sekitar, dijemput hadir bagi menyaksikan aksi para pendayung selain memeriahkan suasana di Tebingan Sungai Krian.
Regata Krian 2026 akan berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober ini, dengan perhatian pastinya tertumpu kepada pasukan yang berjaya menguasai perlumbaan dan dinobatkan sebagai Raja Sungai.
Oleh Adi Safarman




