Kolej Tingkatan Enam dibina berhampiran SMK Kota Samarahan dijangka siap 2028

Facebook
WhatsApp
DATUK Rubiah Wang bercakap ketika ditemui pemberita selepas Majlis Nyambung Belaja 2026 di Unimas, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN: Pembinaan Kolej Tingkatan Enam di Kota Samarahan kini sedang berjalan dan dijangka siap pada 2028.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata projek yang diluluskan pada 2022 itu mengambil tempoh pelaksanaan selama 24 bulan.

“Kolej berkenaan dibina berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Kita telah memperjuangkan pembinaan Kolej Tingkatan Enam ini sejak 2014 kerana kemudahan sedia ada tidak dapat menampung keperluan pelajar, khususnya di Kota Samarahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Nyambung Belaja 2026 di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samarahan berkata, kolej itu akan menempatkan pelajar Tingkatan Enam dari seluruh Bahagian Samarahan, termasuk Sebuyau, Asajaya dan Samarahan.

“Ketika ini, pelajar Tingkatan Enam aliran sains, termasuk dari Asajaya, dipusatkan di SMK Muara Tuang.

“Pada masa hadapan, semua pelajar akan dipusatkan di Kolej Tingkatan Enam kerana terdapat kemudahan seperti makmal dan fasiliti lain yang diperlukan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Rubiah berkata kolej berkenaan akan menawarkan aliran sains dan sastera, selain menyediakan persekitaran pembelajaran prauniversiti yang lebih lengkap.

“Dengan adanya kolej ini, kita bukan sahaja menyediakan infrastruktur pembelajaran yang lebih baik, tetapi turut membantu mengurangkan kepadatan pelajar di sekolah menengah di Kota Samarahan,” ujarnya.

Untuk rekod, projek berkenaan diluluskan pada 2022 selepas permohonan pembinaannya diperjuangkan sejak 2014.

Projek itu kini dalam proses pembinaan dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan dan dijangka siap pada 2028.

Oleh Masrin Affirah