TATAU: Latar belakang keluarga dan kesusahan hidup bukan penghalang untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan, malah boleh menjadi pencetus semangat untuk terus berusaha.
Dr Ricky Lawe menekan perkara itu ketika menyampaikan ceramah pada Program Motivasi Kecemerlangan Peperiksaan SPM dan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau, di sini.
Program berkenaan disertai seramai 364 pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam sebagai persediaan menghadapi peperiksaan masing-masing.

Menerusi pendekatan Neuro-Linguistic Programming (NLP), termasuk teknik reframing, Dr Ricky membimbing pelajar untuk membayangkan masa depan yang ingin dicapai dan membina keyakinan diri dalam merealisasikan impian tersebut.
Beliau turut berkongsi pengalaman membesar dalam keluarga kurang berkemampuan di Selangau, termasuk cabaran yang dilaluinya ketika bersekolah.
Katanya, kesukaran hidup tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berputus asa, sebaliknya perlu dijadikan kekuatan untuk terus melangkah sehingga mencapai kejayaan.
“Kesukaran ketika bersekolah tidak menghalang saya untuk meneruskan pengajian sehingga memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD),” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan pelajar supaya mempunyai tekad yang jelas, mengamalkan disiplin diri dan tidak mudah mengalah dalam usaha mencapai keputusan cemerlang.
Suasana ceramah bertukar sebak apabila Dr Ricky mengaitkan kejayaan akademik pelajar dengan harapan serta pengorbanan keluarga mereka.
Beberapa pelajar dilihat menitiskan air mata, malah seorang daripada mereka turut menyifatkan perkongsian tersebut sebagai satu kesedaran penting dalam menghadapi peperiksaan.
“Saya ucapkan terima kasih, Dr Ricky. Kehadiran Dr memberi ceramah motivasi ini menyedarkan saya sepenuhnya,” katanya.
Sebagai tanda keprihatinan, Dr Ricky turut menyumbangkan alat tulis kepada pelajar yang kehilangan ibu bapa.
Beliau sebelum ini turut diundang menyampaikan ceramah motivasi di Bau, Serian, Betong dan Padawan.
Program berkenaan diharapkan dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan pelajar SMK Tatau untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam SPM dan STPM.
Oleh Akun Giman





