EEC 2026 pacu pendidikan alam sekitar, 350 delegasi dijangka hadir

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika mempengerusikan sidang media berhubung Persidangan Pendidikan Alam Sekitar 2026 (EEC 2026) di pejabatnya di Kuching, hari ini.

KUCHING: Kira-kira 350 delegasi, termasuk 100 peserta antarabangsa, dijangka menghadiri Persidangan Pendidikan Alam Sekitar 2026 (EEC 2026) yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Oktober ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, persidangan itu menjadi platform untuk memperkukuh pendidikan alam sekitar menerusi perkongsian pengetahuan, pendedahan teknikal serta pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan tempat.

Beliau berkata, EEC 2026 yang bertemakan ‘Memperkasa Generasi Masa Depan Melalui Literasi Alam Sekitar’ bertujuan melengkapkan generasi masa depan dengan pengetahuan, nilai dan kemahiran yang diperlukan bagi menangani cabaran alam sekitar serta isu kelestarian.

“Persidangan ini juga bertujuan meningkatkan kapasiti pendidik, institusi dan pengamal melalui pertukaran pengetahuan berkualiti tinggi, pendedahan teknikal serta pendekatan pembelajaran alam sekitar berasaskan tempat.

“Pada masa sama, ia mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dalam usaha bersama ke arah kelestarian,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

EEC 2026 turut memberi tumpuan kepada usaha melahirkan pemimpin muda yang mampu menerajui penjagaan alam sekitar serta memperkukuh kesedaran berkaitan alam sekitar secara berterusan melalui pendidikan berkualiti.

Menurut Awang Tengah, antara hasil yang diharapkan daripada persidangan itu ialah penyediaan input asas dan cadangan strategik bagi membimbing perkembangan pendidikan alam sekitar pada masa hadapan.

DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan bergambar bersama Datuk Len Talif Salleh, wakil kementerian serta pihak yang terlibat dalam penganjuran Persidangan Pendidikan Alam Sekitar 2026 (EEC 2026) di Kuching, hari ini.

Ia turut dijangka meningkatkan pengetahuan pendidik dan pengamal berkaitan kelestarian alam sekitar, perubahan iklim serta keutamaan alam sekitar Sarawak, selain memperkukuh kemahiran dalam pembelajaran berasaskan pengalaman, pembelajaran berasaskan tempat dan pendidikan alam sekitar antara disiplin.

“Selain itu, kita mahu menggalakkan penerapan konsep kelestarian dan tema alam sekitar dalam kurikulum sekolah serta program dan aktiviti kokurikulum,” katanya.

Persidangan berkenaan dijangka disertai kira-kira 250 delegasi tempatan yang terdiri daripada guru, wakil NGO, sektor swasta dan agensi kerajaan, selain 100 delegasi antarabangsa, termasuk penceramah.

Antara organisasi antarabangsa yang terlibat ialah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), National Geographic dan World Wide Fund for Nature (WWF).

EEC 2026 turut menampilkan barisan penceramah utama, pakar alam sekitar dan pengamal bidang alam sekitar dari Malaysia serta luar negara.

Persidangan itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR), Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak serta Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak.

Persidangan berkenaan akan dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Program dua hari itu akan merangkumi lima sesi pleno yang membincangkan isu alam sekitar tempatan, trend global dan pendekatan inovatif, pendidikan alam sekitar, pendidikan untuk planet serta usaha melahirkan pemimpin hijau bagi menghadapi cabaran perubahan iklim.

Oleh Afiq Sallehi