Pesta Tanglung SJK Chung Hua Matu semarak perpaduan generasi muda

Facebook
WhatsApp
AHMAD Johnie Zawawi memegang tanglung sebagai simbol semangat perpaduan dan penghayatan kepelbagaian budaya pada Pesta Tanglung SJK Chung Hua Matu.

MATU: Pesta Tanglung Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Matu menjadi wadah untuk memupuk semangat perpaduan dan sikap saling menghormati dalam kalangan generasi muda menerusi penghayatan terhadap kepelbagaian budaya.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, program seperti itu penting dalam memupuk semangat perpaduan dan sikap saling menghormati, selain mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dengan masyarakat berbilang kaum.

“Kepelbagaian budaya adalah kekuatan kita. Semangat muhibah dan perpaduan perlu terus dipupuk sejak di bangku sekolah demi keharmonian generasi masa hadapan,” ujarnya.

AHMAD Johnie Zawawi bersama warga SJK Chung Hua Matu pada Pesta Tanglung yang berlangsung dalam suasana meriah dan harmoni di Matu.

Terdahulu, Ahmad Johnie menyempurnakan perasmian pesta berkenaan yang berlangsung dalam suasana meriah dan harmoni.

Program itu menghimpunkan warga sekolah, ibu bapa serta masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti, termasuk perarakan tanglung, persembahan murid dan pertandingan peragaan tanglung.

Oleh Akun Giman