SPR terima 18 bantahan syor persempadanan Sarawak

Facebook
WhatsApp
DITEMUI MEDIA… Dato’ Sri Ramlan Harun ketika ditemui media selepas meninjau Pameran Syor Kajian Semula Persempadanan Negeri Sarawak di Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), hari ini. Foto Norman B

PETRA JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima sebanyak 18 representasi bantahan terhadap syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Bahagian-Bahagian Pilihan Raya di Sarawak setakat semalam.

Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan Harun berkata, bantahan yang diterima setakat ini kebanyakannya menyentuh perubahan daerah mengundi daripada satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada DUN lain.

“Sehingga semalam, berdasarkan bantahan melalui dalam talian yang kita terima, sebanyak 18 representasi telah pun kita terima.

“Bantahan yang kita terima lebih spesifik, kebanyakannya kepada perubahan daerah mengundi daripada satu DUN kepada DUN-DUN yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media lawatan ke Pameran Syor Kajian Semula Persempadanan Negeri Sarawak di Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), di sini, hari ini.

TINJAU… Dato’ Sri Ramlan Harun meninjau Pameran Syor Kajian Semula Persempadanan Negeri Sarawak di Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), hari ini. Foto Norman B

Menurutnya, terdapat juga beberapa bantahan berkaitan cadangan nama DUN yang akan diperincikan dan dinilai SPR selepas tempoh pameran berakhir.

Setakat ini, SPR belum menerima sebarang representasi berbentuk sokongan, namun menjangkakan lebih banyak pandangan akan dikemukakan sebelum tempoh pameran berakhir pada 30 September ini.

Ramlan berkata, pihaknya mengalu-alukan masyarakat mengemukakan pandangan sama ada dalam bentuk bantahan atau sokongan bagi membantu SPR memuktamadkan kajian berkenaan.

Katanya, selepas tempoh pameran tamat, semua representasi diterima akan dinilai sebelum SPR menentukan langkah seterusnya, termasuk mengadakan sesi pendengaran yang dijangka berlangsung pada Oktober.

Beliau berkata, sekiranya bantahan atau pandangan diterima memerlukan pindaan terhadap cadangan asal, SPR akan mempertimbangkan perubahan berdasarkan hasil penelitian dan maklumat dikemukakan.

Dalam menentukan syor persempadanan pula, beberapa prinsip diambil kira termasuk jumlah pengundi, keadaan geografi dan hubungan setempat, dengan pertimbangan dibuat berdasarkan keunikan setiap kawasan.

Mengikut kenyataan SPR, 18 representasi bantahan setakat 23 September melibatkan kawasan Parlimen Mas Gading, Puncak Borneo, Lubok Antu, Sarikei, Julau, Lanang, Mukah dan Bintulu.

Syor KSP berkenaan dipamerkan selama sebulan mulai 1 hingga 30 September di 44 lokasi seluruh Sarawak, dengan cadangan penambahan 17 DUN menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 99 kawasan, selain pindaan nama satu kawasan Parlimen dan 10 DUN.

Oleh Norman B