TATAU: Pejabat Daerah Tatau hari ini menjalani Audit Pensijilan Semula Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015 bagi memastikan pelaksanaan sistem pengurusan organisasi terus memenuhi keperluan serta piawaian yang ditetapkan.
Audit berkenaan dikendalikan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. dengan diketuai Ketua Juruaudit, Mohamad Nasim Zakaria, merangkap Ketua Seksyen Komersial, Perkhidmatan dan Teknologi Maklumat, Jabatan Pensijilan Sistem Pengurusan.
Penilaian tersebut melibatkan semakan terhadap pelaksanaan proses kerja, dokumentasi dan pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan di bawah Sistem Pengurusan Kualiti.

Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong Bujang @ Endawie, berkata penglibatan semua kakitangan amat penting bagi memastikan sistem pengurusan kualiti yang dilaksanakan dapat diterapkan dalam tugasan harian.
Menurut beliau, kerjasama dalam kalangan warga kerja juga diperlukan bagi memastikan setiap urusan dilaksanakan secara teratur dan mengikut tatacara yang ditetapkan.
“Amalan kerja yang berkualiti perlu menjadi sebahagian daripada budaya organisasi dan dilaksanakan secara berterusan, bukan hanya apabila audit dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, sistem pengurusan yang tersusun turut membantu Pejabat Daerah Tatau mengenal pasti ruang penambahbaikan, selain meningkatkan kecekapan dalam menguruskan urusan serta keperluan masyarakat.
Pada masa yang sama, audit berkenaan menjadi platform untuk pihak pengurusan menilai keberkesanan amalan sedia ada serta memastikan sebarang ruang penambahbaikan dapat dikenal pasti dan ditangani.
Usaha itu mencerminkan komitmen Pejabat Daerah Tatau dalam mengekalkan amalan pengurusan yang sistematik, di samping memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Oleh Faizah Muzidi





