MUKAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terjatuh dari tongkang ke Sungai Igan pada 19 September lalu masih belum menemui mangsa selepas operasi hari keempat ditangguhkan, hari ini.
Mangsa yang berusia 33, dipercayai terjatuh ke sungai ketika menjalankan kerja di atas tongkang Lee Ling 2 berhampiran Jambatan Igan kira-kira 6.15 petang pada 19 September.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, operasi SAR hari keempat bermula dengan pergerakan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah ke lokasi pada 8.24 pagi.
Pasukan tiba di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di bawah Jambatan Igan pada 9.12 pagi sebelum taklimat bersama agensi penyelamat diberikan oleh pihak polis pada 9.20 pagi.
Operasi pencarian menggunakan bot penyelamat bermula pada 9.45 pagi dengan radius pencarian sepanjang lima kilometer ke arah hulu sungai dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
JBPM memaklumkan keadaan cuaca ketika rondaan adalah hujan renyai-renyai, manakala paras air sungai ketika itu semakin surut.

“Operasi disambung pada 2.00 petang dengan kawasan pencarian diperluaskan sehingga 8.5 kilometer ke arah hulu dari PKOB menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.
“Keadaan air yang semakin surut pada sebelah petang serta arus yang agak deras, terutama di kawasan muara sungai, turut menjadi antara cabaran yang dihadapi pasukan penyelamat sepanjang operasi,” jelasnya dalam satu laporan hari ini.
Pada 4.25 petang, pasukan SAR masih belum menemukan mangsa sebelum operasi ditangguhkan dan akan disambung semula esok atas arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Untuk rekod, mangsa kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang berwarna hitam dan seluar jeans ketika bekerja di atas tongkang berkenaan.
Operasi SAR melibatkan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Jabatan Sukarelawan (RELA) serta syarikat kontraktor.
Sebanyak lima bot turut digunakan sepanjang operasi, masing-masing bot bomba, PDRM, APM, UKPS dan kapal tunda milik syarikat kontraktor, selain bantuan Unit Dron PDRM.



