LAWAS: Dua individu tempatan mengalami kerugian keseluruhan RM8,617.90 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan tawaran pinjaman menerusi iklan di media sosial dalam dua kes berasingan.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, bagi kes pertama, polis menerima laporan daripada seorang mangsa pada 19 September lalu, kira-kira 7.50 malam berhubung iklan pinjaman wang di media sosial.
Menurutnya, mangsa berurusan dengan suspek dan memberikan beberapa butiran seperti yang diarahkan.
“Pengadu kemudian diminta membuat bayaran selepas suspek mendakwa pengadu tidak layak untuk membuat pinjaman.
“Pengadu melakukan beberapa transaksi dan menyedari ditipu apabila masih diarahkan untuk membuat bayaran tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM5,517.50 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan, Liong berkata, polis menerima satu lagi laporan kira-kira 12.29 tengah hari semalam daripada seorang individu tempatan berhubung iklan di media sosial yang menawarkan pinjaman peribadi dengan bayaran bulanan rendah.
Mangsa kemudian berurusan dengan suspek dan melakukan beberapa transaksi sebelum diminta membuat bayaran tambahan.
Mangsa menyedari ditipu selepas suspek terus mengarahkannya membuat pembayaran.
Menurut Liong, mangsa dalam kes kedua mengalami kerugian RM3,100.40.
Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jumlah kerugian dalam kedua-dua kes berkenaan adalah RM8,617.90.
Oleh Adeng Edrus




