KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap mengarahkan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menahan bayaran kepada kontraktor projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Lorong Sungai Tapang 4 sehingga semua kerja tertunggak diperbetulkan dan disiapkan mengikut piawaian ditetapkan.
Arahan itu dibuat selepas Yap bersama pegawai MPP menjalankan pemeriksaan di tapak projek hari ini bagi menilai kerja menaik taraf sistem perparitan yang bertujuan menangani masalah saliran dan banjir di kawasan berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kerja di bawah kontrak berkenaan masih tidak memuaskan dan belum memenuhi sepenuhnya piawaian ditetapkan.
“Dana awam mesti dibelanjakan secara bertanggungjawab dan projek yang dibiayai menerusi RTP mesti dilaksanakan mengikut skop kerja serta Senarai Kuantiti (BQ) yang diluluskan.
“Penyiapan projek bukan sekadar bermaksud kerja fizikal telah dilaksanakan. Kerja tersebut juga mesti memenuhi spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan,” katanya.
Yap berkata, kontraktor Eastline Synergy Resources perlu membetulkan semua kekurangan dan memastikan keseluruhan projek mematuhi syarat kontrak, skop kerja yang diluluskan serta BQ sebelum bayaran dilepaskan.
“Saya telah mengarahkan MPP memastikan bayaran tidak dibuat sehingga semua kerja tertunggak diperbetulkan dengan sewajarnya dan projek mematuhi sepenuhnya keperluan kontrak.
“Ini soal akauntabiliti dan memastikan setiap ringgit wang awam memberikan manfaat yang sepatutnya kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pegawai MPP atas pemantauan berterusan serta penilaian teknikal terhadap projek berkenaan.
Yap berkata, beliau akan terus memantau pelaksanaan projek RTP di lapangan, bekerjasama dengan agensi pelaksana serta memastikan aduan penduduk diberikan tindakan susulan sewajarnya.
“Kita dengar, kita susuli dan kita pastikan kerja dilaksanakan dengan betul,” katanya. Oleh Connie Chieng





