84 warga asing ditahan dalam operasi imigresen di Bintulu

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA penguat kuasa menahan warga asing yang cuba bersembunyi di bawah rumah kongsi pekerja dalam operasi imigresen di Bintulu. Foto JIM Sarawak

BINTULU: Cubaan beberapa warga asing mengelak daripada ditahan dengan bersembunyi di bawah rumah kongsi pekerja dan di celah longgokan sampah tidak berhasil apabila lokasi persembunyian mereka dikesan anggota penguat kuasa dalam operasi bersepadu di sekitar bandar ini.

Operasi yang dijalankan dari 10.00 pagi Isnin hingga 6.00 pagi semalam itu membabitkan Unit Penguatkuasaan Imigresen Bintulu dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Bintulu.

Ketua Imigresen Bahagian Bintulu, Tuan Presley Geoffrey, mengetuai operasi berkenaan yang membabitkan 20 pegawai Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak dan sembilan anggota PPM Wilayah Bintulu.

Sebanyak enam lokasi diperiksa menerusi Op Selera, Op Mahir dan operasi bersama bagi mengesan individu yang dipercayai melanggar peraturan imigresen.

Menurut JIM Sarawak, beberapa warga asing cuba melarikan diri dan memilih tempat persembunyian yang sukar dikesan ketika pemeriksaan dijalankan.

WARGA asing yang cuba melarikan diri ke kawasan hutan berjaya ditahan anggota penguat kuasa dalam operasi imigresen di Bintulu. Foto JIM Sarawak

Antara taktik yang digunakan ialah bersembunyi di ruang bawah rumah kongsi pekerja sebelum bersembunyi di celah longgokan sampah.

“Bagaimanapun, taktik tersebut tidak berhasil apabila anggota operasi menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh,” menurut kenyataan JIM Sarawak yang disiarkan menerusi media sosialnya hari ini.

Malah, anggota penguat kuasa turut memasuki ruang di bawah rumah berkenaan dan memeriksa celah timbunan sampah sebelum berjaya mengesan serta menahan individu terbabit.

Hasil operasi itu, seramai 127 individu diperiksa, dengan 84 warga asing ditahan untuk tindakan lanjut.

Daripada jumlah itu, 67 ialah lelaki dewasa, 16 perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

Mengikut kewarganegaraan, 82 daripada mereka ialah warga Indonesia manakala dua lagi warga Filipina.

Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Bekenu untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

JIM Sarawak dalam kenyataan berkata, operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan akan terus dipergiat bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membendung keberadaan warga asing yang melanggar peraturan di Sarawak.