Suspek kes khianat dengan api kedai serbaneka Sri Aman ditahan di Saratok

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan polis di Saratok, semalam kerana disyaki terbabit dalam kes khianat dengan api yang dilaporkan berlaku di Sri Aman. Foto IPD Saratok

SARATOK: Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan polis di Saratok, semalam  kerana disyaki terbabit dalam kes khianat dengan api yang dilaporkan berlaku di Sri Aman.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, kira-kira 7.15 malam.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat susulan siasatan berhubung kes yang dilaporkan berlaku di sebuah premis kedai serbaneka di Jalan Kecil Sri Aman dan disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 36 tahun yang berasal dari Sarikei. Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Honor milik suspek bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati suspek telah menjalankan perniagaan kedai makan di Pekan Saratok sejak kira-kira 10 tahun lalu.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai lapan rekod kes lampau membabitkan pelbagai kesalahan,” katanya.

Suspek kemudiannya diserahkan kepada BSJD Sri Aman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Kes berkenaan kini dalam siasatan lanjut pihak polis, manakala suspek telah berjaya ditahan.

Oleh Adi Safarman