SIMUNJAN: Seramai 50 anggota delegasi daripada Fakulti Perhutanan, Universitas Tanjungpura, Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia mengadakan lawatan ke Hutan Simpan Sabal di sini bagi meneroka usaha pemulihan dan pemuliharaan hutan.
Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dalam kenyataan berkata, delegasi yang terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan pelajar pascasiswazah itu turut disertai pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak.
“Lawatan ini memberi tumpuan kepada pertukaran pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perhutanan, khususnya berkaitan pemulihan hutan, pemuliharaan spesies pokok tempatan dan penggunaan sumber hutan secara lestari.
“Delegasi berkenaan turut menerima taklimat JHS mengenai Hutan Simpan Sabal serta aktiviti pemulihan hutan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

“Mereka kemudian melawat tapak semaian dan kawasan pemulihan hutan dalam Hutan Simpan Sabal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam program itu, penyelidik Universitas Tanjungpura turut mengadakan demonstrasi pembuatan sabun menggunakan minyak daripada engkabang jantong (Shorea macrophylla).
Demonstrasi berkenaan turut disertai komuniti Sabal bagi berkongsi pengetahuan mengenai potensi penggunaan sumber hutan tempatan.

Sebagai sebahagian daripada lawatan itu, delegasi berkenaan turut menanam 100 pokok engkabang jantong di Hutan Simpan Sabal sebagai simbol komitmen bersama terhadap usaha pemuliharaan dan pemulihan hutan.
JHS berkata, lawatan itu turut mengukuhkan jaringan dan pertukaran pengetahuan antara institusi dari Sarawak dan Kalimantan Barat, selain membuka peluang kepada kerjasama akademik dan penyelidikan pada masa depan.
Turut hadir Ketua Bahagian Pemulihan dan Hutan Ladang JHS, Zarina Shebli, bersama pegawai dan kakitangan jabatan.





