Keputusan PISA 2025 satu teguran, Sarawak perlu suara lebih besar dalam pendidikan

Facebook
WhatsApp
YAP mahu Sarawak mempunyai peranan lebih besar dalam membentuk pendidikan berdasarkan keperluan dan keutamaan negeri.

KUCHING: Prestasi Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 perlu dijadikan teguran kepada Kerajaan Persekutuan, selain membuka ruang kepada Sarawak untuk memainkan peranan lebih besar dalam membuat keputusan berkaitan pendidikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, pelajar Malaysia mencatat prestasi di bawah purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam matematik, bacaan dan sains.

Beliau berkata, prestasi purata negara dalam ketiga-tiga bidang itu juga lebih rendah berbanding 2018, manakala matematik mencatat penurunan antara 2022 dan 2025.

“Ini bukan sekadar angka dalam jadual kedudukan antarabangsa. Ia melibatkan pengetahuan asas, kemahiran dan peluang masa depan anak-anak kita,” katanya dalam kenyataan.

Yap turut mempersoalkan sama ada peruntukan besar yang disalurkan kepada sektor pendidikan diterjemahkan kepada hasil pendidikan yang sewajarnya untuk anak-anak Malaysia.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan RM64.1 bilion menerusi Belanjawan 2025.

“Sudah tentu, peruntukan kewangan sahaja tidak semestinya membawa kepada peningkatan hasil pendidikan.

“Namun, apabila peruntukan sebesar itu disediakan, kerajaan juga perlu menjawab persoalan yang wajar, adakah hasil pendidikan yang dicapai setimpal dengan sumber yang telah dilaburkan?” katanya.

Menurut Yap, realiti geografi Sarawak, masyarakat yang berbilang budaya dan bahasa serta keperluan penduduk luar bandar dan pedalaman memerlukan lebih banyak fleksibiliti dalam menentukan penyampaian pendidikan di negeri ini.

Beliau menegaskan, autonomi yang lebih besar tidak bermaksud meninggalkan standard pendidikan kebangsaan, sebaliknya memberi Sarawak lebih kuasa dan tanggungjawab untuk membentuk pendidikan berdasarkan keperluan serta keutamaan negeri.

Katanya, antara bidang yang perlu diberikan perhatian lebih besar ialah penetapan keutamaan pendidikan, sekolah luar bandar dan pedalaman, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pendidikan teknikal dan vokasional serta sokongan kepada sekolah yang kekurangan kemudahan.

Perhatian juga, katanya, perlu diberikan kepada pembangunan program yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan bahasa Sarawak.

“‘Sarawak First’ juga mesti bermaksud meletakkan keperluan pendidikan anak-anak Sarawak sebagai keutamaan.

“Sebagai wakil rakyat Kota Sentosa, kebimbangan saya bukan mengenai meraih mata politik. Ia adalah mengenai sama ada anak-anak kita menerima kualiti pendidikan yang diperlukan untuk bersaing, berjaya dan menyumbang dalam dunia yang berubah dengan pantas,” katanya.

Yap berkata, keputusan PISA 2025 perlu membawa kepada akauntabiliti, pembaharuan bermakna dan desentralisasi yang lebih besar dalam membuat keputusan berkaitan pendidikan.

“Jika Sarawak dijangka mengambil lebih banyak tanggungjawab terhadap pembangunan kita sendiri, maka Sarawak juga mesti diberikan kuasa dan ruang yang diperlukan untuk membentuk pendidikan anak-anak kita sendiri.

“Anak-anak kita tidak boleh menunggu. Masa depan mereka tidak boleh diserahkan kepada pendekatan seperti biasa,” katanya.

Oleh Connie Chieng