Suspek curi dua rim kereta ditangkap

Facebook
WhatsApp
DIRAMPAS...Dua unit rim kereta yang dicuri berjaya ditemukan semula di sebuah kedai besi buruk di kawasan Tudan, Miri.

MIRI: Cubaan seorang lelaki mencuri dua rim kereta di Kampung Sungai Baong, Krokop, di sini, terbongkar selepas aksinya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Menurut hantaran Polis Daerah Miri di laman Facebook Polis Daerah Miri, pihaknya menerima laporan pada 8.27 malam, 18 September lalu, berhubung kehilangan dua unit rim kereta milik seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.

Dalam hantaran itu, polis memaklumkan mangsa menyedari kehilangan dua rim berkenaan kira-kira 7.00 pagi sebelum membuat pemeriksaan terhadap rakaman CCTV di rumahnya.

“Hasil semakan mendapati seorang lelaki yang dikenali mangsa telah mencuri rim berkenaan kira-kira 2.00 pagi.

“Mangsa kemudian menghubungi pihak polis sebelum suspek berjaya ditangkap dan ditahan bagi membantu siasatan,” menurut hantaran itu.

Hasil siasatan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri kemudiannya berjaya menemukan semula dua rim berkenaan di sebuah kedai besi buruk di kawasan Tudan, kira-kira 2.00 petang semalam.

Polis memaklumkan rim berkenaan dipercayai telah dijual oleh suspek selepas dicuri.

Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 22 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Oleh Liong Chai Ling

Suspek curi dua rim kereta ditangkap

MIRI: Cubaan seorang lelaki mencuri dua rim kereta di Kampung Sungai Baong, Krokop, di sini, terbongkar selepas aksinya dirakam kamera