PETRA JAYA, 11 November: Wisma Melayu Sarawak bukan sekadar memenuhi aspirasi masyarakat Melayu, malah bakal menjadi pusat pemeliharaan sejarah, warisan dan kebudayaan untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, wisma berkenaan diharap dapat menjadi pusat kegiatan yang memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat Melayu, malah kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Wisma ini bukan sahaja memenuhi aspirasi masyarakat Melayu, malah menjadi pusat pemeliharaan sejarah dan kebudayaan bangsa untuk diwarisi oleh generasi kini dan yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Wisma Melayu Sarawak yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sini, malam ini.
Menurut Awang Tengah, sejarah penubuhan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak bermula pada 1993 apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan penubuhan yayasan bagi memelihara dan memajukan warisan budaya Melayu Sarawak semasa Seminar Budaya Melayu Sarawak Kedua. Cadangan itu mendapat sokongan daripada 135 peserta seminar berkenaan.
Pembinaan Wisma Melayu Sarawak yang dirancang sejak 2015 berdepan pelbagai cabaran, termasuk gangguan akibat pandemik COVID-19, sebelum berjaya disiapkan hasil kerjasama pelbagai pihak.
Beliau turut mengenang jasa pengasas dan pemimpin terdahulu, termasuk Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang merupakan pengerusi pertama yayasan berkenaan.
Dari segi seni bina, bangunan itu mengambil inspirasi daripada tengkolok atau destar, iaitu warisan busana Melayu yang melambangkan kemuliaan, kedaulatan dan martabat. Reka bentuk berkenaan turut mempunyai kaitan dengan sejarah masyarakat Melayu Sarawak serta logo asal yayasan pada 1994.
Wisma Melayu Sarawak dilengkapi dewan utama, pejabat pentadbiran yayasan dan Pusat Sumber Melayu dan Sarawak, selain menempatkan perancangan pembangunan Muzium Tamadun Melayu Sarawak.
Dewan utama itu mampu menampung kira-kira 2,000 orang bagi persidangan dan sekitar 1,500 orang untuk majlis makan malam.
Muzium Tamadun Melayu Sarawak yang dirancang itu bakal menempatkan koleksi sejarah, manuskrip, artifak dan warisan kebudayaan masyarakat Melayu serta masyarakat serantau. Muzium berkenaan diharap dapat menjadi pusat rujukan sejarah dan pendidikan kepada generasi muda.
Dalam pada itu, Awang Tengah berkata, usaha kerajaan negeri memelihara identiti masyarakat pelbagai kaum turut dizahirkan menerusi pembangunan kemudahan kebudayaan seperti Panggung Dayak di Kuching, Pusat Kebudayaan Orang Ulu di Miri dan Pusat Budaya Bidayuh di Bau.
“Kepelbagaian yang kita miliki bukanlah penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab memelihara warisan tidak berakhir dengan perasmian wisma itu, sebaliknya memerlukan pengurusan yang baik serta penglibatan berterusan masyarakat, khususnya golongan muda.
Sehubungan itu, beliau berharap Wisma Melayu Sarawak dapat dimanfaatkan sebagai pusat ilmu, pendidikan, keusahawanan, sosial, keagamaan, sejarah dan kebudayaan, selain menjadi ruang yang menghubungkan pengalaman generasi terdahulu dengan kemahiran serta pemikiran baharu golongan muda.
Oleh Shikin Mahmud




