Pesta Kuih Bulan wadah perkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum

Facebook
WhatsApp
JILIN Itar yang mewakili Harden merasmikan Sambutan Pesta Kuih Bulan 2026 anjuran JKKK Kampung Cina Brayun Ulu dengan kerjasama SBC di perkarangan Tokong Ciyun Sri Aman Waterfront, malam tadi. Foto SBC

SIMANGGANG: Sambutan Pesta Kuih Bulan (Mid-Autumn Festival) bukan sekadar medan meraikan warisan dan kebudayaan masyarakat Cina, malah mampu menjadi platform memperkukuh perpaduan serta hubungan antara masyarakat berbilang kaum di Bandar Simanggang.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, penganjuran sambutan secara santai dalam suasana seperti sebuah perhimpunan keluarga besar wajar dijadikan contoh oleh pertubuhan lain dalam menganjurkan program kemasyarakatan.

Beliau berkata, pendekatan yang dilaksanakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Cina Brayun Hulu dengan kerjasama Kelab Badminton Simanggang (SBC) itu mewujudkan suasana lebih mesra apabila ahli jawatankuasa turut berganding bahu menyediakan makanan dan menjayakan keseluruhan program.

Menurutnya, konsep sedemikian bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama ahli, malah memberi ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain dalam suasana yang lebih santai.

“Syabas dan tahniah kepada JKKK Kampung Cina Brayun Hulu dan SBC kerana berjaya menganjurkan sambutan Pesta Kuih Bulan ini sebagai satu perhimpunan keluarga besar.

“Kaedah sebegini boleh menjadi contoh kepada pertubuhan lain kerana lokasi dan pendekatan yang digunakan lebih mesra serta santai berbanding sekadar mengadakan majlis di restoran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena merasmikan Sambutan Pesta Kuih Bulan 2026 anjuran JKKK Kampung Cina Brayun Ulu dengan kerjasama SBC di perkarangan Tokong Ciyun Sri Aman Waterfront, di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Setiausaha Sulitnya, Jilin Itar.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, beliau bersyukur kerana masyarakat di Sarawak, khususnya di Bandar Simanggang, terus memperlihatkan semangat perpaduan dan toleransi yang tinggi walaupun terdiri daripada pelbagai kaum serta latar belakang kebudayaan.

Katanya, sikap saling menghormati dan menerima kepelbagaian budaya merupakan antara asas penting dalam memastikan kestabilan sosial terus terpelihara.

“Semangat toleransi ini membolehkan masyarakat hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain, walaupun mengamalkan budaya serta tradisi yang berbeza.

“Justeru, keharmonian yang dinikmati perlu dipertahankan bersama agar perancangan pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa gangguan terhadap kestabilan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Kapitan Tay Buan Boon berkata, kerjasama antara JKKK dan kelab sukan tempatan dalam menganjurkan program berkenaan membuktikan bahawa budaya mampu menjadi jambatan kukuh dalam menyatupadukan komuniti.

Menurutnya, platform seperti Pesta Kuih Bulan bukan sahaja membantu mengekalkan warisan budaya, malah memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat Sri Aman yang berbilang kaum.

Sambutan berkenaan turut dihadiri majoriti Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Cina, ahli JKKK Kampung Cina Brayun Hulu serta ahli SBC, selain menyajikan pelbagai pengisian termasuk pembakaran mercun, simbolik penghantaran tanglung permintaan (wishing tree), persembahan alat muzik violin, pertunjukan bunga api dan perarakan tanglung oleh kanak-kanak.

Program turut diserikan dengan penyampaian hadiah pertandingan badminton tertutup, sekali gus menggabungkan elemen kebudayaan, kemasyarakatan dan sukan dalam satu sambutan yang meriah.

Tay turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa pengelola, penaja, pihak berkuasa tempatan serta individu yang memberikan sokongan dari segi kewangan, tenaga dan moral sehingga sambutan tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar.

Oleh Adi Safarman