PUNCAK BORNEO: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, hari ini menziarahi keluarga mendiang Debra Morset di Kampung Semadang, Padawan, selain memastikan bantuan kebajikan dan sokongan kepada keluarga berkenaan terus diberi perhatian.
“Kita bersama dengan keluarga dan anak-anak mereka, bersama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan juga Jabatan Kebajijan Masyarakat (JKM) untuk memberi apa yang kita boleh berikan.
“Kerajaan negeri juga banyak membantu dan anak-anak pun sudah dibantu. Ibu kepada mangsa juga sudah dibantu untuk mendaftar sebagai penerima bantuan kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga berkenaan, di Kampung Semadang, Padawan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut berhubung dengan suami mendiang, John Then Hua Ken serta keluarga bagi memastikan keperluan mereka dapat dikenal pasti dan dibantu sewajarnya.
Jelasnya, beberapa bentuk bantuan masih dalam proses, termasuk Kenyalang Gold Card dan Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) untuk ibu mendiang.
Dalam kunjungan itu, keluarga mendiang turut menerima Pemberian Ehsan kepada Keluarga/Mangsa Bencana (PEKA) YKN berjumlah RM3,000.

Sementara itu, JKM turut menyalurkan Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM300 kepada ibu mendiang, selain Bantuan Warga Emas (BWE) sebanyak RM600 sebulan yang disyorkan bermula Oktober ini.
Bagi suami mendiang, JKM sebelum ini turut menyenaraikan bantuan TBS sebanyak RM300 serta sesi kaunseling bersama Pegawai Psikologi Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching.
Nancy berkata, pihaknya turut bersedia menyediakan perkhidmatan kaunseling sekiranya diperlukan oleh keluarga mendiang.
“Semoga mereka tenang. Kalau ada keperluan dari segi perkhidmatan kaunseling, kita sudah bersedia untuk memberi.
“Setakat ini, anak-anak dan keluarga mereka masih kuat untuk menghadapi dan sekiranya diperlukan, mereka akan hubungi kami,” ujarnya.
Mendiang Debra merupakan antara mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, pada 8 September lalu.
Kunjungan itu turut disertai Ahli Parlimen P.198 Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga mangsa.
Oleh Adele Rissa





