SARAWAK United FC merampas kembali takhta Liga Premier daripada Terengganu FC ll selepas merakam kemenangan 4-1 ke atas Perak FC 2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam semalam.
Skuad kendalian E Elavarasan dikejutkan menerusi jaringan seawal minit pertama oleh Perak FC II menerusi pemain tengah mereka, Royizzat Daud yang menyambar bola hasil sepakan percuma Khairul Syafiq Mustaffa dan menewaskan penjaga gol Sarawak United, Sharbinee Allawee.
Tersentak dengan gol awal itu, pemain Sarawak United tidak patah semangat dengan mendominasi sepenuhnya permainan selepas itu untuk mencari jaringan penyamaan.
Bermain dalam keadaan hujan lebat dan padang licin, pemain Sarawak United seakan-akan tidak mahu mengalah dengan kerap melakukan beberapa serangan bahaya ke kubu lawan, dan akhirnya mereka berjaya merapatkan kedudukan apabila menjaringkan gol pada minit ke-35.
Gol tersebut hasil daripada hantaran lintang S Chanturu yang ditanduk kencang Norshahrul Idlan Talaha untuk menewaskan penjaga gol Perak FC II, G. Yuganes.
Keputusan 1-1 kekal hingga tamat babak pertama perlawanan.
Memasuki babak kedua pula memperlihatkan Sarawak United tampil lebih bertenaga dengan melancarkan gerakan memburu gol kedua dan berhasil apabila pertahanan lawan, Muhammad Syafiq Izzudin Mustafa tertampan bola yang diselamatkan penjaga gol ke gawang sendiri pada minit ke-53.
Pemain import Sarawak United, Uche Agba menambah derita Perak FC II pada minit ke-67 dengan meletakkan Sarawak United selesa mendahului 3-1.
Derita Perak FC II tidak berakhir di situ apabila pemain gantian Sarawak United Abdul Rahim menjaringkan gol pada minit ke-88 menerusi hantaran silang daripada Azman Chuchu.
Keputusan 4-1 kekal hingga tamat masa kedua perlawanan sekali gus membolehkan Sarawak United FC kembali menerajui Liga Premier 2021 dengan mengumpul sebanyak 31 mata.
Skuad diberi jolokan Kenyalang Emas itu turut mempunyai kelebihan apabila kini mengungguli saingan liga dengan kurang satu perlawanan berbanding pencabar terdekat Terengganu FC II di kedudukan kedua yang mengutip 29 mata selepas 16 perlawanan.
Oleh ADI SAFARMAN