Ultra Kalcer Malaysia tampil 19 artis Malaysia-Indonesia

Facebook
WhatsApp
ANTARA artis Malaysia dan Indonesia yang bakal membuat persembahan pada Ultra Kalcer Malaysia 2026 di KL Festival Park, Kuala Lumpur, pada 7 dan 8 November depan.

KUALA LUMPUR: Barisan artis Indie tempatan antara tarikan utama Ultra Kalcer Malaysia 2026, yang menghimpunkan 19 artis Malaysia dan Indonesia dalam festival muzik dua hari di KL Festival Park, di sini pada 7 dan 8 November depan.

Mewakili Malaysia ialah Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo, yang akan berkongsi pentas dengan artis Indonesia termasuk Kris Dayanti, Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Hindia dan Romantic Echoes.

Jurucakap penganjur Neptunes Presents, Nabila Huda Suhaimi berkata pemilihan artis tempatan dalam festival itu penting bagi memberi ruang kepada pemuzik Malaysia berkongsi pentas dengan nama besar dari Indonesia, selain memperluas capaian mereka kepada peminat serantau.

Beliau berkata festival berkenaan turut mencerminkan hubungan rapat antara peminat dan industri muzik kedua-dua negara yang mempunyai persamaan dari segi bahasa serta budaya.

“Pasukan kreatif dan produksi kami bertungkus-lumus mendapatkan barisan penyanyi daripada industri muzik Malaysia dan Indonesia bagi menjayakan festival ini,” katanya pada sidang media Ultra Kalcer Malaysia 2026, baru-baru ini, yang turu dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Neptunes Presents Mohd Izwan Johar; Ketua Pegawai Operasi Fizzany Adnan dan Pengarah Projek Shamil Yusof.

Beliau berkata pada masa ini setiap artis sedang membuat persiapan bagi memberikan persembahan terbaik, namun senarai lagu yang akan dibawakan masih dirahsiakan dan hanya akan didedahkan pada hari festival.

Mengenai pemilihan lokasi, Nabila berkata KL Festival Park dipilih kerana kedudukan venue itu yang strategik serta mampu menampung lebih 20,000 penonton pada satu-satu masa.

Beliau berkata jualan tiket festival itu yang menawarkan harga mampu milik kepada peminat telah dibuka sejak 4 September lalu menerusi laman web www.bbo.events.com.

Ultra Kalcer Malaysia 2026 meneruskan usaha Neptunes Presents memperkukuh kerjasama dalam penganjuran acara muzik melibatkan artis Malaysia dan Indonesia.

Sebelum ini, Neptunes Presents bersama-sama rakan penganjur berjaya menganjurkan Festival Muzik Nyalafest di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 30 November 2024, yang menampilkan lapan artis dari kedua-dua negara.- Bernama

Lady Gaga dedah nama anak sulungnya

LOS ANGELES: Penyanyi terkenal Lady Gaga dan tunangnya, Michael Polansky, menamakan anak perempuan pertama mereka Rose Bean Polansky, menurut laporan

Maddox gugur nama Pitt secara sah

LOS ANGELES: Anak sulung Angelina Jolie dan Brad Pitt, Maddox, 25, secara sah menggugurkan nama Pitt daripada nama keluarganya. Mahkamah