KUCHING, 11 November: Penyanyi kelahiran Sarawak, Daus Eli meluahkan rasa syukur dan terharu apabila tersenarai dalam Hot Seat Gegar Vaganza (GV) Fantasia, sekali gus membuka peluang untuknya melangkah ke pentas pertandingan berprestij itu.
Menurut Daus, peluang dan kepercayaan yang diberikan itu merupakan satu penghargaan besar dalam perjalanan seninya, selain menjadi bukti sokongan berterusan daripada peminat.
“Sejujurnya, Daus sangat bersyukur dan terharu. Memang tak sangka diberi peluang dan kepercayaan untuk berada dalam senarai Hot Seat GV Fantasia. Ini satu penghargaan yang sangat besar buat Daus.
“Terima kasih kepada semua yang sudi mengundi dan memberikan sokongan. Doakan semoga ada rezeki Daus untuk melangkah lebih jauh,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan dalam GV Fantasia bukan sekadar peluang untuk kembali beraksi di pentas besar, malah menjadi platform terbaik untuk mencabar kemampuan dirinya sebagai seorang penyanyi.
“GV Fantasia merupakan satu platform yang sangat besar untuk saya mencabar kemampuan diri sebagai seorang penyanyi. Saya mahu buktikan bahawa saya masih mampu memberikan sesuatu yang berbeza kepada industri muzik.
“Kalau diberi peluang, saya ingin tampil dengan identiti dan kelainan tersendiri dalam setiap persembahan. Saya bukan sekadar mahu menyanyi, tetapi mahu memberikan hiburan, emosi dan persembahan yang meninggalkan kesan kepada penonton,” ujarnya.
Dalam masa sama, Daus turut menyimpan hasrat untuk membawa nama Sarawak sekiranya berjaya mara ke pertandingan itu.
“Kalau ada rezeki, saya juga ingin membawa nama Sarawak dan menjadi wakil Sarawak di pentas GV.
“Kalau Sarawak mahukan wakil di pentas GV, insya-Allah Daus sedia membawa cabaran itu,” katanya.
Daus merupakan antara 25 peserta yang tersenarai dalam kategori Hot Seat Gegar Vaganza Fantasia (GVF), bersama Maulana bagi musim Akademi Fantasia 8 (AF8). Senarai itu turut menampilkan peserta daripada musim AF1 hingga AF2016, antaranya Khai, Azizi, Adam, Farah Anuar, Felix, Amylea Azizan, Farhan, Velvet, Ebi Kornelis, Aswad, Riz Zaizizi, Toi, Aril Pilus, Isma, Akim, Lena, Fyna Jebat, Aman Aziz, Ewal, Billa Najmi, Afi, Amal dan Ara Johari.
Orang ramai boleh mengundi Daus menerusi WhatsApp Chatbot Gegar Vaganza Fantasia (GVF) dengan melayari laman web rasmi Gempak di https://gempak.com/gegarvaganza.
Pengundi perlu memilih bahagian Hot Seat, mencari nama Daus (AF8) dan membuat undian mengikut arahan yang diberikan melalui chatbot berkenaan. Setiap pengguna diberikan lima kredit undian percuma sehari. Undian dibuka sehingga 13 November, 6.00 petang.
Daus Eli mula dikenali menerusi penyertaannya dalam program realiti nyanyian Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) pada 2010. Beliau berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan itu, di belakang Shahir yang muncul sebagai juara dan Adira sebagai naib juara.
Selepas AF8, Daus meneruskan kerjaya sebagai penyanyi solo dan pernah mendapat perhatian menerusi lagu sulungnya, Kenapa. Beliau turut menghasilkan beberapa lagu lain termasuk Akhir Waktu, 1,000 Rasa Cinta dan Takdir Kita.
Selain menyanyi, Daus turut mengembangkan bakat dalam bidang penciptaan lagu dan komposisi muzik. Pada 2023, beliau menyatakan lebih selesa melakukan kerja di belakang tabir, termasuk menghasilkan karya muzik serta memberi peluang kepada bakat baharu untuk diketengahkan.




