Manggung Di Muara: Dua artis Indonesia bakal naiki penerbangan sulung AirBorneo Jakarta–Kuching

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap pada sidang media Manggung Di Muara 2026 di Baitulmakmur, Petra Jaya.

PETRA JAYA, 10 November: Dua artis Indonesia, Ari Lesmana dan Nadhif Basalamah, bakal menaiki penerbangan sulung AirBorneo Airways (AirBorneo) bagi laluan terus Jakarta–Kuching Jumaat ini sempena konsert Manggung Di Muara 2026.

Konsert yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini di Esplanad Tebingan Kuching itu turut menampilkan Aisha Retno dari Malaysia, Aziz Harun dari Brunei serta tiga artis tempatan Sarawak, iaitu Naki, Adruce Azman dan Shasha Ningkan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kedua-dua artis Indonesia bersama rombongan masing-masing akan menaiki penerbangan sulung itu sehari sebelum konsert berlangsung.

“Lebih signifikan, penerbangan dari Jakarta Jumaat ini merupakan penerbangan sulung bagi laluan terus baharu Jakarta–Kuching AirBorneo.

“Artis dan rombongan dari Indonesia akan turut berada dalam penerbangan tersebut,” katanya pada sidang media Manggung Di Muara 2026 di Baitulmakmur, hari ini.

POSTER Manggung Di Muara 2026.

Mengulas lanjut, beliau berkata AirBorneo selaku rakan penerbangan acara itu akan membawa artis yang terlibat bersama pasukan masing-masing dari Kuala Lumpur dan Jakarta ke Kuching.

Katanya, akses udara yang lebih mudah berpotensi membuka ruang kerjasama antara artis, penggiat seni dan profesional kreatif dari Sarawak dan Indonesia.

Dalam pada itu, beliau berkata penyertaan bakat tempatan memberi peluang kepada mereka untuk mengetengahkan kreativiti dan kebolehan masing-masing kepada khalayak yang lebih luas.

“Mereka turut berpeluang berkongsi pentas dengan artis negara jiran serta membina hubungan dengan industri muzik serantau,” katanya.

Menurut beliau, setakat 9 November, hampir 3,000 tiket telah terjual dengan penganjur menyasarkan kehadiran lebih 3,000 penonton pada malam konsert.

RAKAMAN gambar kenangan pada sidang media Manggung Di Muara 2026 di Baitulmakmur, Petra Jaya.

“Acara ini dijangka menarik penonton dari seluruh Sarawak serta kawasan berdekatan, sekali gus memperkenalkan bandar raya Kuching sebagai destinasi hiburan secara langsung.

“Kehadiran pengunjung juga berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada hotel, restoran, perniagaan tempatan, penyedia pengangkutan dan sektor perkhidmatan lain,” katanya.

Untuk rekod, Manggung Di Muara 2026 anjuran Wazai Creative Solution mengetengahkan konsep konsert terbuka berbilang artis di persisiran Sungai Sarawak, di belakang Hotel Grand Margherita.

Konsert itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan. Kemasukan awal bermula pada 5.00 petang, manakala kemasukan biasa bermula pada 6.00 petang.

Tiket boleh didapati menerusi www.saratic.com.

Wazai Creative Solution sebelum ini menganjurkan A Night With Andmesh Kamaleng pada 2025 yang menarik kira-kira 4,500 penonton, sebelum memperkenalkan konsep konsert terbuka berbilang artis menerusi Manggung Di Muara 2026.

Oleh Masrin Affirah

‘Damba penawar’ kisah hidup Zehra Zambri

PENGALAMAN hidup menjadi inspirasi penyanyi Zehra Zambri, 39, untuk menghasilkan single terbaharu berjudul Damba Penawar, sebuah karya balada yang menceritakan luahan